top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon perkenal Hadiah Galakan kepada usahawan dan koperasi kecil

Ewon ketika berucap pada majlis itu.

9 Jun 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


TUARAN: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick memperkenalkan Hadiah Galakan kepada usahawan dan koperasi kecil sebagai insentif dan motivasi agar terus berjaya.


Beliau berkata, hadiah galakan tersebut mencakupi pemberian tunai RM10,000, trofi dan sijil kepada usahawan kecil dan koperasi kecil yang menunjukkan prestasi keusahawanan yang boleh dijadikan contoh kepada yang lain.


“Sebagai Menteri, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri, saya diperuntukkan sejumlah peruntukan yang boleh digunakan untuk menghargai kecemerlangan rakyat.


“Dalam konteks ini, saya memperkenalkan Hadiah Galakan kepada penjaja, usahawan kecil dan koperasi kecil yang pada pandangan saya boleh menjadi contoh dan inspirasi kepada usahawan atau koperasi yang lain.

“Saya tidak akan membebankan agensi-agensi kementerian tetapi akan menggunakan sebahagian peruntukan Menteri, Ahli Parlimen dan ADUN untuk inisiatif terbaru saya ini. Bagaimanapun, saya akan merujuk kepada agensi-agensi di bawah Kementerian saya berkenaan dengan kriteria penerima Hadiah Galakan ini,” katanya.


Ewon berkata demikian semasa berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan Koperasi Pembangunan Desa Saradan Tenghilan Berhad (KOPDESA) kali ke-8, di sini, hari ini.


Beliau turut mengumumkan KOPDESA menjadi penerima Hadiah Galakan bagi kategori koperasi kecil yang pertama dan akan menerima hadiah tersebut di pejabat beliau pada 14 Jun ini.


Menurut Ewon, KOPDESA yang ditubuhkan lapan tahun lepas menunjukkan prestasi perniagaan yang memberangsangkan, tadbir urus koperasi yang cemerlang serta perancangan pengembangan perniagaan yang boleh dilaksanakan.

“Daripada laporan SKM kepada saya, KOPDESA telah menjana pendapatan sebanyak RM513,000 pada tahun lepas dan penyata kewangannya diaudit setiap tahun dan mengadakan mesyuarat agung.


“KOPDESA juga bukan hanya membangunkan perniagaan menggunakan bantuan SKM serta kekuatan modal dan kerjasama ahli-ahlinya, tetapi telah bekerjasama dengan pemimpin dan masyarakat setempat dalam menjayakan pelbagai aktiviti.


“Selepas meneliti semua laporan, saya bersetuju memberikan Hadiah Galakan bagi kategori koperasi kecil kepada KOPDESA.


“Semoga kejayaan mereka menjadi contoh dan motivasi kepada koperasi-koperasi kecil yang lain. Saya juga meletakkan harapan besar agar KOPDESA menyertai liga koperasi-koperasi besar pada masa akan datang,” katanya.


KOPDESA pada tahun lepas telah mendapat geran bantuan pembangunan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebanyak RM80,000 bagi pembelian dua buah kabin untuk tujuan perkhidmatan peruncitan dan juga pembelian log-log kelulut dan penambahan stok barangan runcit.

Ewon bergambar bersama anggota-anggota koperasi selepas merasmikan Coop Mart KOPDESA.

KOPDESA turut mendapat geran bantuan tambahan RM18,000 bagi membangunkan platform E-Dagang koperasi dan mempromosikan produk koperasi mereka melalui platform Facebook, Instagram dan Tiktok.


Bersempena mesyuarat agung tersebut, Ewon turut merasmikan bangunan KOPDESA Mart yang telah dibina hasil daripada bantuan SKM.

留言


bottom of page