Ewon Prihatin Sokong Pembangunan Ekonomi Komuniti Di Kadamaian
30 Januari 2025
Oleh : Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick terus menunjukkan keprihatinan terhadap pembangunan komuniti dengan menyumbang dana kepada Cawangan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kampung Naragai Tuguson, di sini.
Sumbangan disampaikan melalui Pemaju Masyarakat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Clarence Somuil yang mewakili Ewon, kepada Ketua Wanita Cawangan UPKO Kampung Naragai Tuguson, Nuili Lihan.
Menurut Nuili, bantuan itu digunakan bagi menampung kos gotong-royong membina pondok gerai jualan yang akan dimanfaatkan oleh para peniaga wanita kampung untuk menjalankan perniagaan kecil-kecilan.
Katany, inisiatif berkenaan memberi peluang kepada wanita kampung untuk lebih berdikari dalam menjana pendapatan.
“Sumbangan ini sangat bermakna, terutama untuk membina pondok gerai jualan yang memudahkan kami menjalankan aktiviti perniagaan.
“Terima kasih kepada Ewon atas keprihatinannya terhadap keperluan rakyat khususnya penduduk kampung kami,” katanya.
Menurutnya, Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) ternyata menekankan pentingnya sokongan kepada pembangunan ekonomi komuniti di peringkat akar umbi.
Katanya, dia percaya usaha kecil seperti ini mampu memberi impak besar dalam memperkasakan ekonomi golongan wanita serta memupuk semangat keusahawanan di kalangan penduduk luar bandar.
“Sebagai seorang pemimpin yang aktif membantu komuniti, Ewon terus memberikan komitmen untuk menyokong inisiatif-inisiatif yang dapat mengubah kehidupan rakyat, khususnya di kawasan Kadamaian.
“Usaha ini selaras dengan agenda kerajaan MADANI melalui KUSKOP untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat melalui pendekatan pembangunan ekonomi dan keusahawanan,” katanya.
Comments