top of page

Ewon raikan Raya Aidilfitri dan Kaamatan di 3 Kampung di Kadamaian

  • Wartawan Nabalu News
  • 3 hours ago
  • 1 min read

4 April 2025


KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan bersama masyarakat di tiga kampung dalam kawasan Kadamaian, iaitu Kampung Piak, Kampung Tambulion Ulu, dan Kampung Tegudon.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian itu memuji inisiatif penduduk kampung menganjurkan acara seumpama itu dan menyatakan sokongan beliau terhadap program sedemikian bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara masyarakat.


“Sambutan Hari Raya, Pesta Kaamatan, Krismas dan sambutan-sambutan keagamaan lain bukan sekadar perayaan, tetapi platform terbaik untuk memperkukuhkan perpaduan antara masyarakat pelbagai kaum dan agama.


“Saya berharap acara-acara seperti ini diteruskan untuk mengukuhkan hubungan antara penduduk Kadamaian. Saya yakin semangat kekeluargaan, perpaduan kaum dan keharmonian kaum di Sabah khususnya di Kadamaian boleh menjadi teladan kepada rakyat di negara ini,” katanya.

Ewon memulakan lawatan di Kadamaian hari ini dengan merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Kg Piak dan meninjau hasil pelaksanaan jalan konkrit perumahan kampung.


Seterusnya Ewon menghadiri sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dihoskan oleh Pengerusi JKKK Kg Tambulion Ulu, Hildawatih Sikul.


Ewon kemudiannya menghadiri sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dihoskan oleh Pengerusi JKKK Kg Tegudon, Norfazilan Abdullah.

Sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat, Ewon turut menyampaikan sumbangan Yayasan Bank Rakyat Kaamatan dan Hari Raya kepada 20 penerima di Kg Piak, 60 golongan asnaf dari Kampung Tambulion Ulu, Kampung Tambulion Laut dan Kampung Sorob serta 20 penerima lagi di Kg Tegudon.

ความคิดเห็น


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page