top of page

Ewon rasmi Pejabat TEKUN Nasional Cawangan Kimanis

Wartawan Nabalu News

15 Februari 2025


MEMBAKUT: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick merasmikan Pejabat TEKUN Nasional Cawangan Kimanis yang terletak di Tingkat 1, Lot 18, Block C, Membakut Jaya, di sini, hari ini.


Beliau berharap pembukaan pejabat itu akan membantu membangunkan lebih ramai usahawan berjaya di Mambakut dan Kimanis.


“Semua perkara besar bermula daripada pekara kecil, seperti juga dengan pembukaan Pejabat Tekun Cawangan Kimanis. Saya pasti pembukaan pejabat baru ini akan memudahkan semua usahawan dan merancakkan lagi aktiviti ekonomi di sini.


“Ini merupakan inisiatif penambahbaikan dalam penyampaian perkhidmatan Kerajaan Madani melalui agensi kementerian dan saya yakin TEKUN Nasional akan terus cemerlang dalam memberikan perkhidmatannya terbaik kepada masyarakat terutama usahawan informal dan mikro,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pejabat baharu Tekun Nasional Cawangan Kimanis, di Mambakut Jaya, di sini, hari ini.


Ewon berkata, di bawah Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara KUSKOP, beliau beriltizam untuk memberikan fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak dalam gerakan pembangunan keusahawanan, koperasi serta pendidikan.


Justeru itu katanya, pembukaan pejabat agensi-agensi KUSKOP di Sabah adalah antara inisiatif untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat Malaysia di wilayah Borneo.


“Pembukaan cawangan ini juga lahir daripada permintaan pemimpin-pemimpin tempatan Membakut, iaitu YB Datuk Mohamad Alamin selaku Ahli Parlimen Kimanis, YB Datuk Dr Haji Mohd Arifin Hj Mohd Arif selaku ADUN Membakut dan Rowindy Lawrence selaku Ahli Lembaga Amanah TEKUN Nasional.


“Kebersamaan dan kerjasama kesemua pimpinan bersama rakyat pastinya akan membawa berkat kepada negara, negeri dan daerah yang diwakili seperti yang diserlahkan pada hari ini,” katanya.

Beliau yakin TEKUN Nasional akan terus meningkatkan capaian perkhidmatan kepada usahawan-usahawan di seluruh negara melalui perkhidmatan cawangan seperti ini.


Ewon berkata, bagi tujuan penambahbaikan pekhidmatan, TEKUN Nasional telah mengambil inisiatif dengan membuka Pejabat Kimanis yang terdahulu digabung bersama Beaufort.  


“Mulai hari ini penduduk Kimanis boleh membuat pembiayaan di Pejabat ini tanpa perlu ke Beaufort lagi.


“Harapan saya, dengan pembukaan Pejabat Kimanis ini , lebih ramai usahawan akan dapat menerima manfaat dan TEKUN dapat mempertingkatkan usaha membantu lebih ramai usahawan di kawasan ini bagi meningkatkan taraf hidup yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, sejak ditubuhkan pada tahun 1998 sehinga Januari 2025 TEKUN Nasional telah menyalurkan RM 1.164 billion kepada 65,349 usahawan Negeri Sabah.


“Manakala bagi Parlimen Kimanis TEKUN Nasional telah menyalurkan RM10.9 juta kepada 1,010 usahawan TEKUN bagi tempoh yang sama.


“Setakat Februari tahun ini (2025) sebanyak RM7.4 juta telah disalurkan kepada 412 usahawan TEKUN Negeri Sabah dan untuk Parlimen Kimanis TEKUN Nasional menyalurkan RM190 ribu kepada 14 usahawan TEKUN bagi tempoh yang sama,” katanya.


Pada majlis itu, Ewon turut menyampaikan cek-cek pembiayaan kepada usahawan-usahawan di daerah Membakut. Semoga terus berjaya dan menjadi inspirasi.


Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Ahli Parlimen Kimanis yang juga Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Mohamad Alamin, Pengerusi Tekun Nasional Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif Tekun Nasional Dato’ Adam Abd.Ghani dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut Datuk Haji Mohd Ariffin Mohd Arif.


Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page