Ewon rasmi premis kedai emas Koperasi KOKINAPRO

20 Mac 2025
PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, merasmikan premis Kedai Emas Koperasi Kinabalu Progresif Sabah (KOKINAPRO) Berhad, Bandar Baru Penampang, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kedai emas itu merupakan kedai jual emas pertama milik koperasi di Penampang dan berharap ia menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi koperasi setempat.
“Perniagaan Emas dilihat sebagai pelaburan yang memberikan pulangan lumayan, paling selamat dan teguh, seperti mana dilihat harga pasaran emas kian meningkat dari semasa ke semasa.
“Ini merupakan satu peluang perniagaan yang boleh diceburi oleh koperasi selain Kedai Ar-rahnu yang juga boleh memberikan pulangan tinggi kepada koperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kedai Emas KOKINAPRO, di sini, hari ini.

KOKINAPRO merupakan koperasi baharu didaftarkan pada 23 Disember 2024 dan mempunyai anggota seramai 30 orang.
Ewon turut memuji inisiatif koperasi itu yang merancang memperkenalkan Gold Saving Programme, satu program simpanan emas yang membolehkan masyarakat membeli dan menjual emas secara dalam talian.
“Saya difahamkan koperasi ini sedang menyediakan permohonan bagi mendapatkan kelulusan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebagai badan kawal selia koperasi di seluruh Malaysia bagi memastikan perniagaan ini dijalankan mengikut tata kelola dan saya berharap SKM dapat membantu mempermudahkan urusan koperasi ini,” katanya.
Beliau berkata, kementeriannya sentiasa komited mewujudkan insentif-insentif bersesuaian dengan keperluan usahawan dan koperasi di Sabah dan Sarawak di bawah Kerajaan MADANI.
“Antara program tersebut ialah Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT), Skim Pembiayaan Industri Kraf di bawah TEKUN Nasional, Geran Usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak (BEEP Plus) pembiayaan di bawah SME Corp, Projek Premis Tamu Desa, dan Bantuan Pembangunan Koperasi di bawah SKM.

“Melalui penyediaan pelbagai insentif oleh KUSKOP, akan membantu usahawan/koperasi di Sabah dan Sarawak memulakan atau mengembangkan perniagaan.
“Saya juga berharap agar semua agensi KUSKOP di Sabah menguar-uarkan perkhidmatan yang disediakan ini supaya sampai ke peringkat akar umbi.
“Begitu juga dengan kemudahan pembiayaan yang disediakan oleh SKM seperti Geran Bantuan Pembangunan Koperasi sehingga RM300 ribu dan Pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM (TMPSKM) sehingga RM30 juta oleh SKM dapat disampaikan terus kepada masyarakat,” katanya.
Ewon yakin dengan sokongan kerajaan serta kerjasama semua pihak, koperasi dapat memainkan peranan penting dalam membangunkan ekonomi dan sosial masyarakat.
“KUSKOP akan sentiasa bertindak proaktif untuk melaksanakan pendekatan yang terbaik untuk usahawan, koperasi, penjaja dan peniaga kecil di negara ini,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi Koperasi Kinabalu Progresif Sabah (KOKINAPRO) Datuk Donald Peter Mojuntin, Ketua Pegawai Eksekutif Kedai Emas Progresif Low Yuen Cheong @ Adrian dan para pemimpin setempat.
Comentarios