top of page
Wartawan Nabalu News

Ewon rasmi Premis Tamu Desa Kiau, Kampung Angkat Madani

 



9 Disember 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick merasmikan Premis Tamu Desa Kiau dan Kampung Angkat Madani Kiau pada Program Santuni Madan di Dewan Tamu Desa Kiau, Kota Belud pada  8 Disember 2024.

 

Projek Pembangunan Premis Tamu Desa yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di Kampung Kiau adalah satu daripada 92 projek Tamu Desa yang dilaksanakan di seluruh Sabah dan Sarawak, tahun ini.

 

Ewon berharap lebih banyak Tamu Desa akan dibina pada tahun depan untuk memberikan keselesaan kepada para peniaga kecil-kecilan terutamanya di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak.

 

“Banyak yang tanya, apa inspirasi saya membawa projek Pembangunan Premis Tamu Desa kepada kerajaan, Perdana Menteri dan dilaksanakan oleh KUSKOP. Antara inspirasi saya ialah ibu saya yang dahulunya berjualan di tepi-tepi jalan. Kini, bila ada ruang untuk membantu, menjadi tanggungjawab saya untuk menyediakan kemudahan yang lebih selesa daripada semasa saya membantu ibu saya berjualan dahulu.

 

“Selain itu, ia juga tercetus daripada pengamatan saya melawat banyak Tamu Mingguan bukan sahaja di kawasan Kadamaian tetapi beberapa daerah lain di Sabah yang amat memerlukan penambahbaikan. Ia juga tercetus melalui dialog Bajet 2024 dan 2025 yang kita adakan di Sabah.

 

“Pembinaan Tamu Desa ini mempunyai beberapa konsep, di Kampung Kiau, mereka memilih konsep dewan terbuka supaya mereka boleh menggunakan tempat ini untuk aktiviti kemasyarakatan pada hari-hari lain,” katanya.

 

Pada majlis itu Ewon turut menyampaikan 325 geran tanah kepada penduduk Kampung Kiau Tabur, Kiau Nuluh dan Kiau Bersatu.

 

Selain itu beliau juga menyampaikan replica cek bernilai RM1.329 juta kepada 12 buah kampong di kawasan DUN Kadamaian melalui Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) 2024.

 

Turut disampaikan beberapa sumbangan dan pembiayaan daripada agensi-agensi KUSKOP kepada koperasi dan persatuan di kawasan Kadamaian.

 

Persatuan Bekas Pelajar SK Kiau Kota Belud (KIAU) menerima sumbangan sebanyak RM20,000 daripada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

 

PERNAS melalui CSR mereka “Visi Jelas Untuk Masa Depan Cerah” turut menyerahkan sumbangan Cermin Mata kepada 96 penduduk Kampung Kiau.

 

Menyerahkan mock cek SejaTi MADANI bernilai RM100,000 kepada Koperasi Minitinduk Kiau Kota Belud Berhad daripada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).

 

Penyampaian cek pembiayaan Skim Pembiayaan Teman TEKUN kepada 19 orang berjumlah RM74,000 daripada TEKUN Nasional.

 

Sumbangan Yayasan Bank Rakyat (YBR) sebanyak RM50,000 kepada Persatuan Bekas Pelajar SK Kiau untuk Majlis Kecemerlangan Alumni dan murid sekolah itu dan menyampaikan sumbangan 20 unit komputer daripada Bank Rakyat kepada sekolah itu.

 

Turut hadir Ketua Setiausaha Kuskop Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP Datuk Haji Zamri Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) KUSKOP Noor Afifah Abdul Razak dan ketua-ketua agensi KUSKOP serta wakil daripada jabatan dan agensi kerajaan negeri.

 

 

Comments


bottom of page