Ewon Salurkan Sumbangan Kemanusian Di Kampung Kinasaraban Kota Belud.
14 Disember 2024
KOTA BELUD : Seorang penduduk Kampung Kinasaraban di sini yang kehilangan tempat tinggal sejak 5 tahun lalu akibat kebakaran pada 2019, menerima sumbangan bahan binaan rumah daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick untuk melengkapkan proses pembinaan rumah baharunya.
Sejak tragedi itu, Raitim Guram, tidak mempunyai tempat tinggal yang sempurna dan dibantu pelbagai pihak yang prihatin.
Sumbangan kepada Raitim disampaikan oleh Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) dari Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Juin Kolod yang mewakili Ewon.
Sebelum ini Raitim menerima bantuan pihak Gereja Seventh-Day Adventist (SDA) Kinasaraban untuk membina sebuah rumah menggunakan bahan-bahan binaan terpakai milik gereja.
Namun, kekurangan sumber menyebabkan proses pembinaan rumah itu terhenti, sekaligus memerlukan sokongan tambahan.
Sebelum ini, Juin bersama Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kinasaraban, Lucy Bolong, telah turun padang untuk meninjau perkembangan pembinaan rumah Raitim.
Lucy berkata sumbangan tambahan daripada Ewon sangat bermakna untuk memastikan rumah tersebut dapat disiapkan sepenuhnya.
“Kami amat berterima kasih kepada Ewon atas sumbangannya. Ini adalah bantuan besar bagi Raitim yang sekian lama menunggu tempat tinggal yang selesa selepas tragedi kebakaran itu,” ujar Lucy.
Sementara itu,,Juin turut menekankan bahawa penyelesaian masalah komuniti adalah tanggungjawab bersama.
“Komitmen ini adalah satu contoh bagaimana kepimpinan dan solidariti boleh membantu membangunkan semula kehidupan mereka yang memerlukan.” Katanya.
Bagi penduduk Kampung Kinasaraban, bantuan ini bukan sahaja memberikan sinar baharu buat Raitim, tetapi turut memperkukuh rasa kebersamaan dalam masyarakat setempat.
Mereka berharap semoga dengan
kolaborasi ini, impian Raitim untuk memiliki kediaman yang selesa dapat direalisasikan dalam masa terdekat, sekaligus membawa sinar harapan baharu selepas mengalami kesulitan hidup selama beberapa tahun.
Comments