top of page

Ewon sampaikan bantuan persekolahan YBR kepada 31 sekolah di Kadamaian

Wartawan Nabalu News

21 Mac 2025


KOTA BELUD: Sebanyak 31 sekolah di kawasan Kadamaian, menerima bantuan persekolahan berjumlah RM220,000 daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR).


Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan YBR itu disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, di Dewan Terbuka Kadamaian Square, di sini, hari ini.


Ewon berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 28 sekolah rendah menerima sumbangan RM5,000 setiap sekolah, manakala tiga sekolah menengah masing-masing menerima RM10,000.


“Selain itu, sekolah yang menawarkan program pendidikan khas turut mendapat tambahan RM10,000.


“Ini adalah tahun ketiga saya laksanakan pemberian sumbangan kepada semua sekolah di kawasan Kadamaian.


“Saya berharap bantuan yang disalurkan oleh YBR ini dapat melengkapkan usaha semua pihak dalam membangunkan pendidikan, terutamanya di Kadamaian, yang memerlukan fokus tambahan daripada kerajaan dan institusi berkaitan untuk turun ke lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis itu.


Ewon berkata, pemberian bantuan itu merupakan komitmen berterusannya dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) khususnya Bank Rakyat dan Yayasan Bank Rakyat menggerakkan program pembangunan pendidikan di sekolah luar bandar.


Beliau berkata, pemberian bantuan ini telah dimulakan sejak tahun 2023 dan dilaksanakan setiap tahun sehingga kini di bawah Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara (Perspektif KUSKOP).


“Saya berharap ini dapat membantu pihak sekolah, guru-guru dan PIBG dalam melengkapkan usaha the whole government approach pembangunan sektor pendidikan negara,” katanya.


Menurutnya, selain pembangunan keusahawanan dan koperasi, beliau juga turut memberi tumpuan kepada bidang pendidikan.


“Sememangnya pendidikan ini salah satu agenda tambahan kita selain agenda pembangunan keusawaan dan koperasi untuk menoktahkan kemiskinan melalui gerakan pendidikan dan keusahawanan yang sedang kita laksanakan,” katanya.

Ewon yang juga Canselor Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), turut berkongsi penawaran kursus pengajian dan biasiswa bagi pelajar-pelajar yang ingin melanjutkan pengajian di universiti itu.


“Saya yakin dengan usaha bersama ini, kawasan Kadamaian akan terus menyumbang kepada kecemerlangan pendidikan daerah dan juga negara,” katanya.


Kelmarin, YBR turut menyampaikan bantuan pendidikan sebanyak RM230,000 kepada 28 buah sekolah rendah, menengah dan sekolah pendidikan khas kawasan Penampang.


Daripada jumlah itu, empat sekolah menengah dan 24 sekolah rendah menerima bantuan kewangan.


Turut hadir, Pengerusi YBR Datuk Philip Lasimbang, Ketua Eksekutif YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pegawai Daerah Kota Belud Peter Jiton.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page