Ewon sampaikan sumbangan RM200,000 Sentuhan Kasih ADUN kepada gereja dan pastor Kadamaian
19 November 2024
KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N11 Kadamaian Datuk Ewon Benedick menyampaikan sumbangan sebanyak RM200,000 kepada gereja-gereja, pastor-pastor dan katekis-katekis di Kadamaian di sini, hari ini.
Daripada jumlah tersebut, setiap gereja mendapat bantuan RM1,000 sebagai sumbangan perayaan Natal yang akan menjelang tiba, manakala setiap Pastor dan Katekis pula mendapat bantuan masing-masing sebanyak RM500 bagi perayaan Natal.
Pemberian tersebut melibatkan 140 gereja dan 80 orang Pastor dan Katekis yang melayani di gereja-gereja Kadamaian.
Ewon turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada Persekutuan Pastor-Pastor Kadamaian bagi menganjurkan program melibatkan kesemua denominasi gereja yang ada di Kadamaian.
Semasa berucap, Ewon menjelaskan komitmen beliau untuk terus berlibat urus dan bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin gereja di Kadamaian bagi pembangunan dan pelaksanaan program yang diperlukan.
“Sepertimana semua maklum, pada tahun sebelum ini saya telah menyediakan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada Majlis Gereja-Gereja Kadamaian (MGGK) daripada peruntukan Sentuhan Kasih ADUN. Saya bercadang menyediakan jumlah yang sama setiap tahun daripada peruntukan Sentuhan Kasih ADUN.
“Justeru pada awal tahun ini, saya telah berbincang dengan MGGK bagaimana kaedah pengagihan kali ini dan mereka memberi mandat kepada Pusat Khidmat ADUN untuk membuat ketetapan. Maka pada hari ini kita membuat penyampaian sumbangan kepada semua gereja, pastor dan katekis.
“Sumbangan ini juga ditambah dengan peruntukan RM100,000 tambahan peruntukan Sentuhan Kasih ADUN yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri baru-baru ini,” katanya.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi juga berharap penganut agama Kristian di negara ini menjadi contoh kepada warganegara lain untuk membuat kebaikan dalam konteks negara berbilang kaum dan agama.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk terus menyalurkan peruntukan bagi membantu keperluan pembangunan gereja termasuk Bantuan Badan Keagamaan Bukan Islam yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Sabah dan Bantuan Penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Kota Belud Peter Jiton, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kadamaian Saikom Watis dan Rev Pastor Phool Tompisal.
Comments