Ewon sampaikan sumbangan RM295,000 sentuhan kasih ADUN kepada 73 JKKK, 149 Gereja di Kadamaian
- nabalunews
- 2 days ago
- 2 min read

13 April 2025
KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick menyampaikan sumbangan Sentuhan Kasih ADUN Kadamaian berjumlah RM295,000 kepada 73 badan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan 149 gereja yang ada di kawasan beliau di Kadamaian.
Daripada jumlah peruntukan itu, setiap JKKK menerima sumbangan RM2,000 manakala setiap gereja pula menerima sumbangan RM1,000.
Menurut Ewon, penyaluran sumbangan itu merupakan sebahagian daripada program Sentuhan Kasih tahunan menggunakan peruntukan beliau sebagai ADUN Kadamain tahun ini.
“Sebelum ini, saya menyalurkan sumbangan penganjuran aktiviti di peringkat kampung termasuk gotong-royong dan sambutan perayaan kepada semua JKKK di Kadamaian melibatkan sumbangan RM2,000 setiap JKKK.
“Pada tahun ini, semua badan JKKK juga akan menerima sumbangan yang sama sebanyak RM2,000 setiap JKKK bagi tujuan yang sama iaitu, aktiviti gotong-royong dan sambutan perayaan seperti Pesta Kaamatan.
“Gereja-gereja juga akan menerima sumbangan RM1,000 iaitu bagi sambutan perayaan yang diadakan oleh gereja termasuk ibadah Paskah. Jumlah ini sama dengan sumbangan yang disalurkan pada tahun lepas.
“Manakala bagi masjid dan surau pula sudah menerima lebih awal semasa bulan ramadhan bulan lepas dengan jumlah yang sama, iaitu RM1,000 bagi setiap masjid dan surau di seluruh Kadamaian.
“Selain daripada JKKK, gereja dan kampung, saya juga akan meneruskan pemberian bantuan orang susah, bantuan awal pengajian, kelahiran, kematian dan sebagainya,” katanya.
Ewon menyatakan bahawa penyaluran sumbangan tersebut bagi memastikan Program Sentuhan Kasih ADUN Kadamaian sampai kepada semua kampung di seluruh Kadamaian.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi turut menyatakan bahawa setiap sekolah menengah menerima sumbangan bantuan penganjuran aktiviti sebanyak RM10,000 manakala sekolah rendah pula menerima sumbangan sebanyak RM5,000 serta tambahan RM5,000 lagi bagi setiap sekolah yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Beliau menyatakan demikian semasa berucap dalam majlis penyampaian sumbangan Sentuhan Kasih ADUN Kadamaian di Pusat Khidmat ADUN Kadamaian di sini, hari ini.
Ewon turut menyatakan bahawa beliau akan terus komited menjayakan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035 yang beliau ilhamkan selagi diperlukan oleh rakyat Kadamaian.
“Rakyat Kadamaian telah mengetahui mengenai Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035 yang sedang kita jayakan melibatkan pelbagai pelaksanaan projek berskala besar yang sedang berjalan seperti naiktaraf Jalan Sayap, Jalan Tengkurus, Jalan Podos, jambatan Kaung, penyukatan tanah di bawah Program PANTAS di Kg Kiau, Kg Tambatuon dan seterusnya di Kg Sayap, Kg Terintidon dan Kg Melangkap, naiktaraf sekolah-sekolah sehinggalah kepada projek berskala kecil seperti kemudahan premis Tamu Desa di seluruh Kadamaian, jalab konkrit kampung, jambatan gantung fiber dan pelbagai kemudahan lain.
“Di bawah Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara (Perspektif KUSKOP) pula, kita memberi fokus tambahan kepada keperluan Sabah dan Sarawak tanpa menjejaskan fokus sedia ada di seluruh negara. Manakala saya akan berikan fokus istimewa kepada kawasan yang saya wakili iaitu Kadamaian dan Penampang di bawah pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah dasar yang saya perkenalkan di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP),” katanya.
Ewon turut menyatakan gesaan agar rakyat Kadamaian terus bersatu menjayakan pelbagai pembangunan yang diperlukan, membangunkan sektor ekonomi dan keusahawanan serta menjadi teladan kepada kecemerlangan, kerjasama, perpaduan dan keharmonian rakyat.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Kota Belud Peter Jiton, Pegawai Pembangunan Masyarakat Kadamaian Saikom Watis dan Pengerusi Majlis Gereja-Gereja Kadamaian Pastor Phool Tampisal.
Comments