top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon sampaikan sumbangan sejumlah RM267,730 kepada enam persatuan




24 Mei 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyampaikan sumbangan Yayasan Bank Rakyat (YBR) sejumlah RM267,730 kepada enam persatuan bagi membantu persatuan-persatuan itu melaksanakan program mereka.


Sumbangan itu diberikan kepada Persatuan Kebajikan Inspirasi Dinamik Sabah, Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah dan Dewan Bahasa Pustaka Cawangan Sabah, INDEP Education Foundation, Momogun National Congress (MNC), Politeknik Kota Kinabalu dan Sabah Society for the Deaf.


Persatuan Kebajikan Inspirasi Dinamik Sabah menerima sumbangan sebanyak RM50,000 untuk melaksanakan Program Bola Sepak Perpaduan (Belia, Siswa dan Pelajar Sabah), Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah dan Dewan Bahasa Pustaka Cawangan Sabah sebanyak RM50,000 untuk melaksanakan Projek Pembinaan Kamus Lundayeh – Melayu.


INDEP Education Foundation menerima sumbangan RM100,000 untuk menjayakan Program 'Be English Speaker Today For A Better Tomorrow' 2024 dan Momogun National Congress menerima sumbangan RM50,000 untuk melaksanakan Program Pemerkasaan Komuniti Momogun Dalam Perniagaan.


Yayasan Bank Rakyat juga bersetuju untuk menjalinkan kerjasama bagi melaksanakan Program Community Connection In Kampung Lokub: Serving Together di Kampung Lokub dengan kerjasama Politeknik Kota Kinabalu berjumlah RM7,730.


Kesemua sumbangan itu disampaikan semasa kunjungan persatuan-persatuan itu kepada Ewon, di Pejabat YBR, di sini, kelmarin.


Manakala sumbangan kepada Sabah Society for the Deaf sebanyak RM10,000 disampaikan semasa kunjungan Ewon di pusat itu.


Ewon berharap sumbangan itu dapat membantu persatuan-persatuan berkenaan melaksanakan program masing-masing untuk manfaat masyarakat secara keseluruhannya.

Commentaires


bottom of page