nabalunews
Ewon santuni rakyat Kuamut, Telupid dan Limbahau, fokus kepada agenda rakyat
12Januari 2025
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick turun padang di Kuamut, Telupid dan Limbahau sepanjang tiga hari hujung minggu di Sabah bagi menyantuni rakyat sempena sambutan Krismas dan Tahun Baharu.
Pada Jumaat, beliau menghadiri Rumah Terbuka Krismas di Kg Entilibon, seterusnya sambutan yang sama di Kg Telupid pada Sabtu dan seterusnya di Kg Punson, Kinarut pada Ahad.
“Dalam sambutan-sambutan ini, saya berkongsi inisiatif Kerajaan MADANI melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak di bawah Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara KUSKOP termasuklah pembangunan keusahawanan dan koperasi, pembinaan premis Tamu Desa, program Ehsan@KUSKOP serta inisiatif-inisiatif baharu kementerian dan agensi-agensi.
“Semasa di Kuamut, saya berkongsi pencapaian Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), agensi KUSKOP yang berjaya menurunkan kadar Portfolio At Risk (PAR) daripada 0.09% kepada 0.02% di mana Sabah merupakan antara negeri yang berjaya mencapai pembayaran semula pinjaman Sahabat AIM 100% ataupun 0% PAR.
“Di Telupid, saya berkongsi mengenai penawaran pengajian di Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), iaitu koperasi milik Institut Koperasi Malaysia (IKMA) agensi KUSKOP serta bantuan-bantuan pengajian melalui Yayasan Bank Rakyat, Yayasan ANGKASA dan inisiatif perbincangan dengan Kerajaan Sabah bagi pemberian Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) dan program Ehsan@KUSKOP.
“Di Limbahau pula, saya berkongsi mengenai inisiatif terbaharu KUSKOP dan agensi iaitu pembangunan Hab PMKS Sabah yang dilaksanakan oleh SME Corp dan Live Studio TikTok - TEKUN yang dilaksanakan oleh TEKUN Nasional.
“Saya akan terus fokus kepada mandat dan amanah yang diberikan kepada saya untuk melakukan kebaikan dan inisiatif-inisiatif yang memberikan kebaikan kepada rakyat melalui KUSKOP,” katanya.
Ewon menyatakan tidak akan terkesan dengan kritikan-kritikan politik sebaliknya menghargai semua pandangan yang diberikan terutama dalam melengkapkan usaha Kerajaan menyelesaikan keperluan rakyat.
“Di Kuamut, mereka masih mengharapkan bantuan tambahan untuk pendidikan kerana insiden kemiskinan tegar yang tinggi di daerah ini. Di Telupid, mereka memerlukan kemudahan perbankan tambahan seperti Bank Rakyat dan kemudahan premis Tamu Desa. Di Limbahau, mereka memerlukan bantuan pembiayaan keusahawanan bagi merancakkan aktiviti ekonomi daerah.
“Saya memilih untuk memberi fokus kepada keperluan-keperluan rakyat ini dan mahu menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah berbanding menjawab perselisihan politik atau kritikan politik,” katanya.
Comments