Ewon sempurnakan konvokesyen pertama 13 Graduan MBA UKKM

20 Februari 2025
KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, menyempurnakan konvokesyen pertama Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) melibatkan 13 graduan ijazah program Master in Business Administration (Cooperative Management), di Dewan Tun Dr. Ismail, World Trade Centre (WTC), di sini, hari ini.
Beliau yang juga Canselor UKKM berbangga atas kejayaan UKKM melahirkan graduan sulung setelah hampir dua tahun beroperasi.
“Sepanjang memimpin Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dua tahun lebih yang lepas, saya telah memberi dokongan penuh kepada UKKM, bagi memastikan aspirasi melahirkan koperator profesional dalam bidang koperasi dapat direalisasikan.

“Penerokaan ilmu merupakan suatu proses yang dinamik dan berterusan. Konvokesyen ini adalah permulaan para graduan yang terdiri daripada pemimpin dan barisan pengurusan tertinggi di peringkat koperasi mengorak langkah ke tahap yang lebih tinggi.
“Malah, mereka juga merupakan duta rasmi UKKM yang boleh memainkan peranan menyebar luas penjenamaan UKKM di samping terus berkhidmat secara langsung kepada kelestarian sektor koperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemasyhuran Pro Canselor dan Konvokesyen Pertama UKKM, di sini, hari ini.
Turut hadir Pro Canselor UKKM yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Pro Canselor UKKM Tan Sri Mohamad Fauzi Harun, Pengerusi Lembaga Pengarah UKKM Datuk Wira (Dr) Rosli Mat Hassan, Pengarah Urusan UKKM merangkap Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMA) Datuk Mohd Ali Mansor dan Naib Canselor UKKM Prof. Dato Dr.Azali Mohamed.
Ewon berkata, sehingga kini, UKKM telah memperolehi akreditasi daripada MQA bagi sembilan program akademik iaitu Diploma Pengurusan Koperasi, Diploma Keusahawanan Koperasi, Bachelor of Business Administration (Cooperative Management) (Honours), Bachelor of Business Administration (Cooperative Entrepreneurship) (Honours), Master in Business Administration (Cooperative Management), Master in Business Administration (Corporate Leadership), Master in Business Administration, Doctor of Philosophy (Entrepreneurship) dan Doctor of Business Administration.
Katanya, UKKM juga kini telah memulakan pengambilan bagi program Doctor of Philosophy (Entrepreneurship) dengan penerimaan 16 calon PhD pada Julai 2024 dan akan memulakan pengambilan kohort pertama program Doctor of Business Administration (DBA) pada Julai 2025.
“UKKM dalam rangka menerapkan serta mengimplimentasikan pendekatan “Work Based Learning” seperti program 2U2I (2 tahun di universiti + 2 tahun di industri) bagi peringkat pengajian pra-siswazah, bagi melahirkan graduan yang menjadi pilihan dan rebutan industry,” katanya.
Selain itu katanya, UKKM juga merancang beberapa program akademik secara mode Open Distance Learning (ODL) yang mempunyai daya maju bagi calon-calon yang jauh dari kampus induk.
“Demi memastikan UKKM sentiasa berdaya saing serta berada seiring dengan peredaran serta keperluan semasa, saya mencadangkan agar UKKM meneroka serta memperluaskan lagi program pengajian sedia ada.
“Ini termasuklah menambah program menjurus kepada business data analytic, pengurusan francais, international business, entrepreneurial leadership serta program-program yang seumpamanya yang menepati arus semasa,” katanya.
Ewon berkata, UKKM juga kini dalam usaha membuka peluang pembelajaran kepada pelajar antarangsa seterusnya melebarkan jenama UKKM ke peringkat antarabangsa.
“UKKM telahpun memperoleh permit pengambilan pelajar antarabangsa dan akan memulakan pengambilan bermula pada tahun ini,” katanya.
Katanya lagi, sebagai universiti swasta berstatus full-fledge university, UKKM juga sedang membuat persiapan awal memperoleh pengiktirafan seperti penarafan SETARA dan persediaan pengauditan MyTBS (Malaysia’s Graduate Top Business School).
“UKKM juga dalam proses mendapatkan penarafan antarabangsa iaitu AMBA (Association of MBA) yang berpangkalan di Eropah.
“Saya yakin dengan kepimpinan UKKM yang ada sekarang, UKKM mampu menjadi sebuah universiti rujukan dalam bidang kebitaraan koperasi di masa akan datang,” katanya.
Comments