Ewon seru lebih ramai petani Kadamaian ceburi pertanian lada hitam
16 Disember 2024
KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyeru agar lebih ramai petani khususnya di kawasan Kadamaian menceburi dan mengembangkan pertanian lada hitam sebagai satu perniagaan.
Beliau berkata, ini kerana pasarannya amat luas dan memberi jaminan kepada para pengusaha atau penanam lada hitam.
“Sebagai sokongan dan galakan berterusan kepada para petani di kawasan Kadamaian, saya telah menyumbangkan sebanyak 600 pokok benih lada hitam kepada 30 peserta kursus lada hitam.
“Saya berharap ini akan menjadi permulaan kepada para petani untuk mengusahakan tanaman lada hitam yang lebih luas pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan anak benih lada hitam kepada para peserta Kursus Lada Hitam, di Pejabat Perhubungan Adun Kadamaian, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian mengulangi komitmennya untuk terus membantu membangunkan industri lada hitam di Kota Belud khususnya Kadamaian.
“Ini adalah sokongan dan bantuan berterusan saya kepada para pekebun kecil lada hitam seperti yang saya laksanakan sebelum menjadi wakil rakyat di kawasan ini,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Persatuan Penanam dan Pengusah Lada Hitam (PLAS) Kota Belud Janus Tioon berkata, sumbangan benih lada hitam oleh Datuk Ewon memberi peluang dan galakan kepada para petani di kawasan Kadamaian untuk memulakan seterusnya mengembangkan penanaman lada hitam.
“Terima kasih kepada Datuk Ewon atas sumbangan ini. Ia membuktikan kesungguhan dan komitmen tinggi beliau untuk membantu mengembangkan lagi penanaman lada hitam di kawasan Kadamaian.
“Saya berharap sumbangan ini akan memberi semangat baru kepada para penanam baru untuk terus mengembangkan pertanian lada hitam,” katanya.
Para peserta kursus lada hitam yang menerima sumbangan merakamkan ucapan terima kasih kepada Ewon.
Nani Sikin dari Kg.Piasau berkata, ini adalah penanaman pertamanya dan berharap bantuan itu akan menjadi permulaan kepada perusahaan lada hitam yang lebih luas pada masa akan datang.
“Minat saya untuk menanam lada hitam timbul selepas mengikuti dan mendengar ceramah mengenai tanaman lada hitam yang dilaksanakan di sini pada bulan lepas.
“Saya melihat tanaman lada hitam mempunyai potensi yang tinggi untuk dikembangkan dan dijadikan sebagai satu perniagaan.
“Ini juga adalah sambutan saya kepada seruan kerajaan supaya menjadikan pertanian sebagai satu perniagaan. Saya berharap ramai lagi akan turut serta dalam projek penanaman lada hitam,” katanya.
Arnie Soluin dari Kg.Tambulion turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ewon atas sumbangan anak benih lada hitam.
“Saya berminat tanam lada hitam selepas mengikuti kursus pada bulan lalu. Ini adalah permulaan saya untuk menaman lada hitam.
“Saya akan tanam lada hitam di kampung saya dan akan berusaha membawa kawan-kawan yang lain untuk turut mengusahakan tanam lada hitam,” katanya.
Seorang lagi penerima bantuan benih lada hitam, Sait Salimun dari Kampung Piasau berkata, beliau akan menggunakan 20 anak benih lada hitam sumbangan Datuk Ewon itu sebagai induk untuk penyedian lebih banyak anak pokok lada hitam.
“Mudah-mudahan dalam fasa pertama dan permulaan saya mengusahakan tanaman lada hitam akan berjaya dan terus berkembang,” katanya.