Ewon Sumbang Dana kepada Gereja St. Anthony Abbot Apin-Apin Keningau
4 Februari 2025
Oleh : Wartawan Nabalu News
KENINGAU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick, terus menunjukkan komitmen terhadap pembangunan masyarakat dengan menghulurkan sumbangan kewangan kepada Gereja St. Anthony Abbot Apin-Apin, Keningau.
Sumbangan disampaikan oleh Ketua Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) UPKO Bingkor, Kennedy John, yang mewakili Ewon kepada beberapa wakil komuniti gereja bagi memenuhi pelbagai keperluan komuniti setempat.
Menurut Kennedy, menerusi inisiatif ini, Ewon membuktikan kesungguhan beliau dalam membantu rakyat, terutamanya di kawasan pedalaman.
Katanya, ia bagi memastikan masyarakat luar bandar turut mendapat akses kepada kemudahan yang lebih baik.
“Bantuan kewangan ini diperuntukkan kepada beberapa komiti gereja untuk kegunaan spesifik yang dapat meningkatkan kemudahan dan aktiviti di kawasan berkenaan,” katanya ketika ditemui, semalam.
Sementara itu, salah satu penerima badan agama, Komiti Belia Katolik Gereja, yang diwakili oleh Narius Kubin berkata, dana berkenaan akan digunakan untuk pembelian Sistem Siar Raya.
Katanya, ia bagi memperbaiki komunikasi dan penyebaran maklumat dalam gereja selain untuk aktiviti-aktiviti keagamaan lain.
Manakala, bagi Komiti Keceriahan yang diwakili oleh Rosaliah Masiul berkata, sumbangan yang diterima akan digunakan untuk pemasangan pagar kawasan gereja, untuk memastikan keselamatan dan kebersihan persekitaran.
Berbeza dengan Komiti Kerasulan Wanita Katolik, yang diwakili oleh Nelly Blasius berkata, dana yang diperoleh akan digunakan untuk pembelian pakaian seragam.
Katanya, ia mampu untuk memperkukuh identiti dan keseragaman dalam kalangan ahli.
Bagi Komiti Kristian Dasar Ritting yang diwakili oleh Alinah Steven berkata, sumbangan berkenaan digunakan untuk pembelian mesin rumput, bagi memudahkan kerja-kerja penyelenggaraan kawasan gereja.
Manakala penerima terakhir, Komiti Umat Katolik St. Anthony yang diwakili oleh Prisca Payayau berkata, dana berkenaan digunakan untuk pembelian dua unit televisyen Android 55 inci, bagi kegunaan aktiviti keagamaan dan pembelajaran komuniti.
Comentarios