top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon sumbang dana RM255,000 kepada sembilan kampung di DUN Kadamaian

6 Julai 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyampaikan sumbangan dana daripada peruntukan khas menteri berjumlah RM255,000 kepada sembilan kampung di kawasan Kadamaian.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, peruntukan itu disalurkan melalui persatuan dan badan-badan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).


“Sumbangan ini adalah untuk membantu JKKK menguruskan pembangunan kampung dan membantu persatuan melaksanakan aktiviti kemasyarakatan mereka.


“Saya berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan bebanan kewangan badan-badan JKKK dan persatuan untuk melaksanakan program dan aktiviti yang telah dirancang untuk manfaat penduduk kampung,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan dana itu di Pejabat Khidmat ADUN Kadamaian, di sini, hari ini.


Penerima sumbangan itu ialah Persatuan Penduduk Wanita Nahaba Tegudon sebanyak RM5,000, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Narinang (RM50,000), Kelab Sukan dan Rekreasi Kampung Kiau (RM15,000).


Badan JKKK Kg.Lahanas, JKKK Kg.Tamalang dan JKKK Kg.Pinasang Tamu Darat masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM50,000.


Manakala Persatuan Wanita Peduli Kota Belud menerima sumbangan RM5,000, Pertubuhan Tobilung Bersatu Sabah (TOBISA) menerima sumbangan RM20,000 dan Pertubuhan Tindal Bersatu Sabah (USTO) sebanyak RM10,000.


Sementara itu para penerima sumbangan merakamkan ucapan terima kasih atas keprihatinan Ewon terhadap keperluan penduduk kampung.


Alexander Saibun yang mewakili Kelab Sukan dan Rekreasi Kampung Kiau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Ewon atas sumbangan sebanyak RM15,000 kepada kelab itu.


“Kami akan gunakan sumbangan ini untuk program Larian Ulu Kadamaian dan lima peratus daripada sumbangan itu akan disalurkan kepada GOMPITO iaitu untuk pemuliharaan hutan simpan Kg.Kiau,” katanya.


Jakunis Gindua yang mewakili Persatuan Penduduk Wanita Nahaba Tegudon berkata, mereka akan menggunakan sumbangan itu untuk membeli peralatan dapur khas untuk keperluan ahli-ahli persatuan dalam menjalankan perniagaan kecil-kecilan.


Torida Saragon yang mewakili Persatuan Wanita Peduli Kota Belud turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ewon atas sumbangan itu.

“Sumbangan ini kami akan gunakan untuk aktiviti kebajikan persatuan iaitu sumbangan bakul makanan untuk disumbangkan kepada golongan memerlukan termasuk mangsa kebakaran, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas, bukan sahaja di Kampung Piasau tetapi di seluruh kawasan Kadamaian,” katanya.


Muneh Sikin mewakili USTO berkata, sumbangan itu adalah untuk membiayai pembinaan sulap persatuan di Pekan Kota Belud.


“Sulap ini dibina bagi memberi ruang kepada para usahawan memasarkan atau mempromosi hasil kraftangan mereka,” katanya.


Wakil JKKK Kg.Taginambur Jaya John Sindong dan wakil Kg.Pinasang Tamu Darat Gison Yasik berkata, sumbangan itu amat bermakna untuk membantu membina dapur dewan kampung dan juga untuk membaiki astaka.


“Kami merakamkan ucapan sdetinggi-tinggi terima kasih kepada YB Datuk Ewon atas sumbangan yang telah diberikan.


“Beliau seorang wakil rakyat yang amat prihatin terhadap masalah penduduk kampung,” katanya.

Comments


bottom of page