Ewon Sumbang Dana untuk Pesta Kaamatan Kampung Piak

15 Mac 2025
Oleh : Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick terus menunjukkan komitmen dalam memperkasakan komuniti setempat dengan menyumbangkan dana bagi persediaan Pesta Kaamatan Kampung Piak Lasau, Kota Belud.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pemaju Masyarakat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Clarence Somuil, kepada Pengerusi Pembangunan Kampung merangkap Ketua Komuniti Kampung Piak, Sumbing Duaka.
Menurut Sumbing, dana yang diterima akan digunakan sepenuhnya bagi memastikan kelancaran penganjuran pesta yang dijadualkan berlangsung pada bulan Mac ini.
Selain menyokong penganjuran pesta, pihak penganjur turut menjemput Ewon untuk merasmikan majlis tersebut.
Dalam majlis yang sama, beliau juga dijadualkan untuk merasmikan jalan konkrit Kampung Piak, satu projek infrastruktur yang merupakan hasil usaha Ewon dalam memastikan pembangunan lebih baik untuk penduduk Kadamaian.
Sumbing, mewakili seluruh komuniti Kampung Piak, merakamkan penghargaan kepada Ewon atas sumbangan yang diberikan serta usaha beliau dalam merealisasikan pembangunan infrastruktur yang lebih baik untuk penduduk setempat.
“Dengan adanya jalan konkrit ini, akses ke kampung kami menjadi lebih mudah, terutama bagi penduduk yang bergantung kepada jalan ini untuk aktiviti harian mereka. Kami sangat berterima kasih atas inisiatif yang telah direalisasikan,” kata Sumbing.
Sumbangan dana dan usaha pembangunan ini selaras dengan matlamat ADUN Kadamaian dalam memastikan setiap komuniti mendapat manfaat daripada pembangunan yang inklusif dan mampan.
Comments