Ewon Sumbang Keperluan kepada IPD Kota Belud Sempena Iftar Ramadan

21 Mac 2025
KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, memberikan sumbangan dana kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud sempena Majlis Iftar Ramadan warga IPD.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pemaju Masyarakat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Clarence Somuil, kepada wakil IPD, Sarjan Cyril Kent Oleh.
Menurut Cyril, sumbangan ini akan digunakan untuk majlis berbuka puasa warga IPD Kota Belud bersama ADUN Kadamaian dan pemimpin setempat pada 23 Mac depan.

Katanya, pihak IPD amat menghargai sumbangan yang diberikan dan ia akan memudahkan kelancaran majlis berkenaan.
“Majlis Iftar Ramadan ini bukanlah kali pertama Ewon menyumbang kepada IPD Kota Belud.
“Pada 16 Disember lalu, dalam satu kunjungan hormat kepada Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain, Ewon turut bersetuju untuk menyumbangkan keperluan seperti kerusi, meja, dan rostrum bagi kegunaan IPD,” katanya.
Menurutnya, sumbangan ini dilihat sebagai satu usaha berterusan untuk memperkukuh hubungan baik antara pihak berkuasa dan masyarakat, selari dengan slogan "Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada."
Sementara itu, Clarence berkata, pihak ADUN Kadamaian berharap agar usaha seperti ini dapat diteruskan bukan saja oleh pemimpin, tetapi juga oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak lain.
Katanya, inisiatif itu bukan saja membantu kelangsungan aktiviti IPD tetapi juga mempereratkan silaturahim antara anggota polis dan masyarakat setempat.
“Dengan adanya sumbangan dan sokongan sebegini, IPD Kota Belud dapat menjalankan tugas dengan lebih selesa dan berkesan dalam menjaga keamanan serta kesejahteraan komuniti,” katanya.
תגובות