Ewon sumbang RM20,000 kepada Kadamaian Adventure Race (KAR)
25 Julai 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD : Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menyumbangkan RM20,000 kepada pihak penganjur Kadamaian Adventure Race (KAR) sebagai komitmen dan sokongan bagi penganjuran acara sukan lasak itu.
Sumbangan diserahkan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas 2 Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Dr. Rizoh Bosorong yang mewakili Ewon kepada Setiausaha KAR, Esther Toihin di Pejabat ADUN Kadamaian di sini, baru-baru ini.
Esther berkata, Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian telah bersama-sama KAR sejak tahun 2017 dan secara keseluruhannya sumbangan beliau dari tahun 2017 sehingga tahun ini hampir mencecah RM100,000.
"Tahun ini, beliau menyumbangkan RM20,000 untuk acara ini. Jumlah yang kami tidak jangka, sebab kami faham dengan situasi Datuk Ewon ketika ini di mana baru-baru ini beliau berdepan dengan bencana banjir di Penampang," ujar beliau.
"Komitmen dan sokongan Datuk terhadap acara ini di Kadamaian amat membuat kami bersyukur dan terharu. Kami berharap kerjasama ini akan berkekalan," tambah beliau.
KAR 2024 akan diadakan pada 27 dan 28 Julai dengan menawarkan empat kategori iaitu Men Open, Women Open, Men Veteran dan Women Veteran.
Terdapat empat kategori larian yang disediakan iaitu 110 kilometer (km), 60 km, 35 km dan 12 km dengan jumlah keseluruhan hadiah wang tunai RM32,000.
Selain itu, peserta juga akan menerima barangan tajaan dan voucher dari pelbagai syarikat.
Sabah Tourism Board (STB) turut menyumbangkan RM5,000 untuk pelaksanaan larian ini dan menyediakan
cenderahati untuk semua peserta.
Larian KAR 2024 akan melibatkan laluan di 21 kampung dan banyak kawasan eko pelancongan di sekitar Kota Belud.
Pelepasan larian bagi kategori 110 km dan 60 km akan dibuat pada 27 Julai ini jam 5.20 pagi dan 5.30 pagi di Padang Kampung Tambatuon, Kota Belud.
Pelepasan larian bagi kategori 35 km dan 12 km pula akan dibuat pada 28 Julai 2024 jam 5.30 pagi dan 7 pagi di Padang Kg. Tambatuon, Kota Belud.
KAR 2024 dijangka menarik penyertaan pelari dari seluruh negara dan antarabangsa.
Комментарии