Ewon temui 120 alumni TUBE Sabah, luluskan geran pentadbiran tahunan RM30 ribu

11 November 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menemui 120 Alumni Program Tunas Usahwan Belia Bumiputra Sabah (TUBE) pada Program Meet & Greet Alumni TUBE Sabah, di Shangri-La Tanjung Aru, di sini, hari ini.
Pada majlis itu Ewon turut meluluskan geran pentadbiran tahunan sebanyak RM30,000 melalui peruntukan khas menteri untuk Persatuan Tunas Usahawan Sabah (PANTAS).
Ewon berharap perjumpaan bersama Alumni TUBE Sabah dapat diteruskan pada masa akan datang bagi mendengar padangan dan cadangan penambahbaikan Program TUBE supaya usahawan baharu dapat menikmati kemudahan yang lebih baik.

“Misalnya sebelum ini pembiayaan TUBE hanya RM15,000 tetapi kini ditingkatkan kepada RM30,000 dengan mengambil kira peningkatan kos pengoperasian perniagaan dan bahan mentah,” katanya.
Ewon berkata, pada tahun depan, Program TUBE X akan kembali diadakan secara fizikal dan akan dibuka untuk pendaftaran awal tahun 2024.
“Adalah diharapkan agar Alumni TUBE dapat menghebahkan program ini kepada rakan belia untuk penyertaan,” katanya.
Beliau turut mencabar alumni TUBE Sabah supaya terus berusaha ke arah penyenaraian perniagaan mereka di Bursa Malaysia.

“Beberapa hari lepas saya menyempurnakan majlis Penutupan dan Apresiasi Progam Rintis Pemangkin Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) Score 5 Bintang, di mana 48 PMKS yang sebelum ini bermula sebagai syarikat kecil kini bersedia ke arah penyenaraian syarikat di bursa saham.
“Dua syarikat itu dari Sabah. Oleh itu saya berharap ada daripada Persatuan PANTAS akan menjadi sebahagian daripada peserta program ini pada masa akan datang,” katanya.

Program anjuran SME Corp Malaysia dan dengan kerjasama PANTAS itu bertujuan menyediakan latihan lanjutan serta mendapatkan maklumbalas dan status terkini perniagaan Alumni TUBE.
Peserta yang hadir turut diberikan taklimat mengenai kemudahan pembiayaan lain yang ditawarkan bagi tujuan pengembangan perniagaan, perkongsian kisah kejayaan perniagaan oleh Alumni TUBE Sabah di samping peluang pasaran menerusi jaringan perniagaan dalam kalangan peserta.

Pada program itu turut diadakan perkongsian kisah kejayaan alumni TUBE Sabah dan sesi soal jawab bersama Menteri Kuskop dan SME Corp.
Pelbagai isu dan cadangan dibangkitkan oleh alumni TUBE, antaranya perusahaan sosial (SE), pendaftaran PMKS dan penubuhan koperasi.
Comments