top of page
Wartawan Nabalu News

Ewon tetap jalankan amanah sebagai ADUN Kadamaian biarpun sibuk berkempen di Penampang



Ewon beramah mesra dengan peniaga di rumah tamu Kg.Sumbilingon.

14 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick terus menjalankan tanggungjawab sebagai Wakil Rakyat Kadamaian walaupun sibuk berkempen sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Penampang.


Ewon mengadakan kunjungan ke Kg.Sumbilingon dan Kg.Kelawat Pekan pada pagi hari ini (Isnin) dan membantu menyelesaikan beberapa permasalahan rakyat terkait dengan keperluan kebajikan dan infra kecil kampung.


Ewon bertanya khabar penduduk kampung yang berniaga di Tamu Minggu Kg.Sumbilingon.

Beliau mengunjungi bangunan rumah tamu Kg.Sumbilingon yang dibina beliau sebagai Wakil Rakyat Kadamaian yang menyediakan kemudahan berniaga kepada ibu-ibu di kampung tersebut dan juga mengunjungi peniaga-peniaga Tamu Minggu Kg.Sumbilingon yang sebelum ini turut menerima peruntukan baikpulih daripada Ewon.


“Saya gembira kerana para peniaga khususnya ibu-ibu di kampung ini mendapat manfaat daripada usaha dan inisiatif kita menyediakan kemudahan seperti ini sebelum ini. Pada hari ini, saya menerima cadangan agar kemudahan tambahan rumah tamu kerana beberapa lagi ibu-ibu di sini mahu berniaga. Ini akan terus menjadi tanggungjawab saya,” katanya.


Ewon menyantuni penduduk kampung yang membawa surat semasa berada di Rumah Tamu Kg.Sumbilingon

Ewon kemudiannya menyantuni beberapa penduduk yang mengemukakan surat-surat aduan dan permohonan agar keperluan kebajikan mereka dapat dibela dan dibantu.


Beliau turut diberi taklimat berkenaan kerja-kerja tebus guna semula kawasan tanah gereja Katolik Kg Pompod yang kerap ditenggelami banjir.


“Saya telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM10,000 seperti yang diperlukan oleh Gereja Katolik Kg Pompod dua bulan lepas untuk menimbus kawasan gereja bagi mengelakkan limpahan air banjir memasuki bangunan gereja. Saya dimaklumkan oleh pihak gereja hari ini bahawa mereka telah menyediakan kelengkapan berkaitan dan akan menimbus tanah selepas keadaan cuaca kembali cerah.


Ewon dan Modily bergambar bersama penduduk kampung.

“Saya akan terus melaksanakan amanah sebagai ADUN Kadamaian sekalipun bertanding di Parlimen Penampang. Saya sudah cukup bersedia untuk memberi perkhidmatan terbaik sebagai ADUN Kadamaian dan sebagai Ahli Parlimen pada masa yang sama.


“Pagi saya boleh berkhidmat di Kadamaian, petang saya boleh berkhidmat di Penampang seperti yang saya lakukan pada hari ini. Saya mengambil serius tanggungjawab dan amanah sebagai Wakil Rakyat yang mesti turun padang,” katanya.


Turut hadir dalam kunjungan Ewon di kampung-kampung tersebut ialah calon Pakatan Harapan Parlimen Kota Belud Modily Bangaly.




Comments


bottom of page