top of page
Wartawan Nabalu News

Ewon tinjau gotong-royong baik pulih saliran pengairan sawah padi Kg Podos


Ewon (kiri) meninjau gotong-royong.

13 Januari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick hari ini meninjau gotong-royong membaikpulih saliran pengairan sawah padi di Kg Podos, Kadamaian.


Menurut Ewon, aktiviti gotong-royong sedemikian menunjukkan kesatuan para penduduk khususnya penanam-penanam padi sawah di kampung tersebut untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi.

Penduduk kampung memasang vrc gabion dan membina saliran.

Ewon turut menyumbangkan bahan-bahan binaan seperti 40 unit vrc gabion dan kos perbelanjaan gotong-royong dengan kos keseluruhan sebanyak RM5,000.00.


“Sumbangan ini sebahagian daripada program sentuhan kasih ADUN Kadamaian dan pendekatan melalui aktiviti gotong-royong adalah yang terbaik untuk melaksanakannya. Saya akan meneruskan pendekatan ini untuk kampung-kampung lain di Kadamaian,” kata Ewon.

Gabion lama yang rosak dan dibaikpulih semula melalui gotong-royong.

Sementara itu, penyelaras gotong-royong, Soumin Sadah merakamkan penghargaan kepada Ewon kerana prihatin menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah yang dihadapi penduduk kampung.


“Sumbangan brc gabion yang disumbangkan oleh Ewon memadai untuk menyelesaikan keperluan kami membaikpulih dan membina saliran pengairan sawah padi untuk tiga tempat berasingan. Ini akan membantu membekalkan air ke sawah padi yang menjadi tanaman utama penduduk sekali setahun di sini,” katanya.


“Sebelum ini, Ewon turut membantu menyalurkan sumbangan menyelenggara dan membubuh batu kelikir di salah satu jalan pertanian di kampung kami. Mudah-mudahan pihak Kerajaan juga akan dapat membantu keperluan kami yang lain,” katanya.

コメント


bottom of page