top of page
nabalunews

Ewon utamakan kepimpinan daripada jawatan


28 Disember 2024


PENAMPANG: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah Datuk Ewon Benedick menegaskan, beliau lebih mengutamakan kepimpinan daripada jawatan.


Ewon berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan beberapa pemimpin PH Sabah mengenai pelantikannya sebagai Pengerusi PH Sabah.


“Banyak pemimpin sudah bagi ulasan dan saya tidak mahu mengulas lebih lanjut.


“Saya mahu ‘move on’ dan saya mahu melaksanakan mandat yang diberikan kepada saya sebaik-baiknya.


“Sekiranya masih ada yang tidak berpuas hati, maka tempoh dua tahun itu boleh dibawa semula dalam pemilihan nanti, saat itulah masa yang sesuai untuk menilai kepimpinan saya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Krismas Pusat Khidmat Ahli Parlimen Penampang, di Buhavan Square, di sini, hari ini.


Turut hadir Pengerusi DAP Sabah yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Phoong Jin Zhe, Ketua Bahagian UPKO Penampang Datuk Donal Peter Mojuntin dan para pemimpin PH Sabah dan pemimpin setempat.


Pada majlis itu Ewon turut menyampaikan replika cek peruntukan khas Perdana Menteri kepada Pertubuhan Pengurusan Kuil Sri Subramaniar Kem Lok Kawi sebanyak RM150,000 dan kepada St.Catherine Laboure Church Putatan bernilai RM200,000.


Selain itu Ewon juga menyampaikan sumbangan cermin mata daripada Pernas, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) kepada pelajar sekolah SK Babagon, SMK Limbanak dan SMK Datuk Peter Mojuntin.


Mengenai projek pembangunan di kawasan Penampang dan projek lewat di negeri ini, Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, pada Januari tahun depan beliau akan mempengerusikan satu jawatankuasa pemantauan khas bersama Timbalan Ketua Menteri Datuk Shahelmey Yahya.


Beliau berkata, ia adalah susulan daripada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri 2, Datuk Seri Fadillah Yusof bulan lepas yang telah mengarahkan beliau mempengerusikan mesyuarat khas pemantauan ini.


Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, sebagai sebahagian daripada pimpinan Sabah, menjadi tanggungjawabnya untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah rakyat negeri ini.


“Di Sabah, sekitar 400 projek lewat, projek belum mula atau projek yang bermasalah. Ini memerlukan kerjasama rapi daripada kerajaan negeri terutamanya jabatan-jabatan teknikal dan juga daripada pihak kontraktor kerana sebahagian daripada projek lewat itu berpunca daripada masalah kontraktor, selain faktor cuaca, bencana banjir dan Covid.


“Di Penampang pun ada (projek) yang belum bermula, sebab itu saya mengambil serius mandat yang diberikan kepada saya dan saya telah menetapkan satu mesyuarat bulanan bersama dengan Datuk Shahelmey dan jabatan-jabatan teknikal di Sabah untuk membantu kerajaan negeri dan persekutuan mempercepatkan penyelesaian masalah yang menyebabkan kelewatan projek itu,” katanya.


Mengenai sambutan Krismas, Ewon berkata, kehadiran masyarakat pelbagai kaum dan agama membuktikan perpaduan dan toleransi rakyat di negeri ini amat kukuh.


“Saya berharap sambutan seumpama ini akan memperkasakan lagi hubungan silaturahim dikalangan rakyat berbilang kaum dalam meraikan kebersamaan bukan sahaja di Penampang tetapi menjadi contoh kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Comentários


bottom of page