Ewon ziarah keluarga penduduk di Kadamaian sempena cuti Hari Pertama CNY
29 Januari 2025
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, meluangkan masa menziarahi beberapa keluarga penduduk di Kadamaian sempena cuti hari pertama Tahun Baru Cina (CNY).
Kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian itu bukan sekadar memenuhi undangan tetapi sebahagian daripada usaha beliau untuk mengeratkan hubungan persaudaraan dan persahabatan bersama masyarakat setempat.
Ewon memulakan kunjungan dengan menghadiri sambutan Hari Keluarga Keturunan Randah dan Latinau di Kampung Tolus.
Dalam ucapannya, beliau menyampaikan penghargaan kepada keluarga besar tersebut dan mendoakan kesejahteraan serta kemakmuran mereka.
Seterusnya, beliau menziarahi keluarga saudara Juin di Kampung Rangalau, bagi menyampaikan ucapan takziah atas pemergian kakak tercinta keluarga tersebut baru-baru ini.
Dalam kesempatan itu, keluarga itu turut membawa Ewon meninjau perusahaan sayur organik secara fertigasi yang mereka usahakan melalui program bimbingan RISDA.
Atas Prihatin terhadap keperluan mereka, Ewon bersetuju memberikan sumbangan untuk membeli kelengkapan lampu solar yang diperlukan bagi meningkatkan kecekapan perusahaan ini.
Ewon kemudian meneruskan ziarahnya ke Kg.Tamu Darat untuk mengunjungi keluarga Datin Terisah dan menyampaikan takziah atas pemergian ibu tercinta keluarga tersebut.
Selain menziarahi keluarga yang mengalami kehilangan insan tersayang, Ewon turut memenuhi undangan sambutan Tahun Baru Cina di beberapa kediaman masyarakat yang menyambut perayaan itu.
Ewon menghadiri sambutan CNY di rumah saudara Frankie di Kampung Tamu Darat serta saudara Nelton di Kota Belud.
“Saya mendoakan agar keluarga-keluarga tersebut terus diberkati dengan kesejahteraan, kesihatan yang baik, serta kejayaan dalam perniagaan mereka.
“Saya gembira dapat bersama-sama masyarakat di Kadamaian meraikan sambutan ini, semoga tahun ini membawa lebih banyak keberkatan dan kejayaan kepada semua. Gong Xi Fa Cai!,” katanya.
Kunjungan sempena perayaan dan ziarah keluarga yang diamalkannya sepanjang masa mencerminkan keprihatinan Ewon terhadap masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya di kawasan Kadamaian.
Comentários