Fadhlina: Belum ada keputusan tentang pemakaian seragam di sekolah
12 Januari 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) masih mengkaji garis panduan pemakaian murid ke sekolah, sama ada perlu kembali memakai seragam atau tidak bagi sesi persekolahan tahun 2024.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, berkata pihaknya sedang mengumpul pandangan dan input daripada semua pihak berkepentingan berhubung perkara itu.
"Kita masih mendengar pandangan dan sumbang saran daripada semua pihak, termasuk ibu bapa dan pemegang taruh berkaitan dengan isu itu, tapi untuk setakat ini kita belum buat sebarang keputusan lagi berhubung perkara tersebut.
"KPM sedang kumpulkan semua input-input itu (sebelum buat keputusan), tapi untuk setakat ini teruskan dengan pemakaian yang ada," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Seri Nibong di Nibong Tebal, semalam.
Pada 3 Mei 2023, KPM membenarkan murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi pendidikannya memakai pakaian atau baju sukan ekoran cuaca panas, dan kebenaran khas itu bertujuan mengelakkan sebarang komplikasi kepada kesihatan.
Commenti