top of page
nabalunews

Fahmi mahu menara Telekomunikasi JENDELA disiapkan dalam tempoh masa ditetapkan


 



27 November 2024

 

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menekankan keperluan untuk memastikan pembinaan menara telekomunikasi di bawah Fasa 1 Jalinan Digital Negara (JENDELA) disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan bagi mempercepat kesalinghubungan digital negara. 

 

"Daripada segi usaha kerajaan, melalui program seperti JENDELA kita dapati daripada 1,661 menara yang telah siap dibina setakat ini, bukan semua yang telah diaktifkan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi.

 

“Jadi, usaha kerajaan adalah untuk memastikan menara-menara yang telah siap dibina perlu dihidupkan ataupun beroperasi secepat mungkin," kata Fahmi selepas berucap di TowerXchange Meetup Asia 2024, baru-baru ini.

 

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kelewatan pembinaan menara di bawah Fasa 1 JENDELA, khususnya di Sabah.

 

Fahmi berkata terdapat keperluan untuk merombak proses pelaksanaan Fasa 2 JENDELA bagi memastikan program tersebut lebih berkesan dalam mengurangkan jurang literasi digital. 

 

Dalam isu lain, Fahmi menjelaskan bahawa cadangan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588) bertujuan menangani akaun palsu yang berleluasa di media sosial, bukan untuk mendedahkan data peribadi pengguna. 

 

"Pindaan tersebut untuk memastikan bahawa setiap akaun media sosial yang wujud adalah sah dan boleh dipertanggungjawabkan. Saya rasa kita tidak berniat untuk melindungi penipu, pedofilia, pembuli. Undang-undang adalah sangat jelas. Idea kita adalah membawa ke Parlimen satu set undang-undang untuk menangani wabak jenayah yang sedang berhijrah ke media sosial," katanya. 

 

Fahmi turut menegaskan bahawa langkah ini penting untuk menangani ancaman keselamatan dan privasi negara, sambil memastikan undang-undang yang lebih tegas dilaksanakan demi melindungi rakyat.

Commentaires


bottom of page