top of page
nabalunews

Fakulti AI bakal diwujudkan di UniKL


19 November 2024


DUBAI: Universiti Kuala Lumpur (UniKL) akan menjalinkan kerjasama dengan Mohamed bin Zayed University of Artificial Intelligence (MBZUAI) di Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk membangunkan sebuah fakulti Kecerdasan Buatan (AI).


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerjasama ini selaras dengan reputasi MBZUAI sebagai universiti pertama di dunia yang fokus pada kecerdasan buatan, serta pengalaman luas UAE dalam meneroka dan memajukan teknologi AI yang perlu dimanfaatkan oleh Malaysia.


“Apa yang telah dipersetujui ialah Zayed University of Artificial Intelligence akan menjalinkan hubungan dengan UniKL di bawah seliaan Majlis Amanah Rakyat (Mara).


“Ini adalah satu pendekatan baru dan kita perlu belajar AI daripada mereka yang telah melakukan sistem pendidikan AI lebih awal," katanya pada majlis makan malam bersama lebih 200 diaspora Malaysia di Dubai sempena lawatan kerja 7 hari ke UAE pada Isnin.


Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, setakat ini hanya tiga universiti awam mempunyai fakulti AI melibatkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah.


Tambahnya lagi, pengalaman UAE sejak 15 tahun lalu dalam membangunkan AI turut mendapat perhatian banyak negara untuk mempelajari teknologi terbabit.


Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, lebih 6,000 anak tempatan yang menetap di negara itu amat dikagumi oleh kerajaan dan rakyat UAE.


“Ini menjadi cerminan kepada keunggulan sistem pendidikan negara yang berjaya menghasilkan ramai tenaga profesional dan usahawan,” ujarnya.


Ahmad Zahid, turut menghargai komitmen UAE untuk menubuhkan pusat data di Malaysia yang melibatkan pelaburan kira-kira AS$50 bilion.


Ahmad Zahid dan delegasi mengadakan lawatan rasmi tujuh hari ke UAE yang berakhir Selasa.

תגובות


bottom of page