FAMA peruntukkan RM10 juta naik taraf 41 Pasar Tamu di Sabah
3 Ogos 2024
KENINGAU: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi menaik taraf 41 Pasar Tamu di Sabah, tahun ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Kurup berkata langkah itu sebahagian usaha untuk mentransformasikan operasi pasar tamu di Sabah.
Katanya, usaha ini memerlukan kerjasama di antara FAMA dengan kerajaan Sabah khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
"Pasar Tamu memainkan peranan yang penting sebagai medan pemasaran hasil pengeluaran produk pertanian dan agromakanan yang diadakan secara mingguan di Sabah.
"Bagi tahun ini, FAMA giat melaksanakan projek naik taraf sebanyak 41 buah pasar tamu di Sabah dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.
"Sejumlah 38 buah pasar tamu sedang dalam proses dinaik taraf dengan peruntukan sebanyak RM7.6 juta dan dijangka siap tahun ini.
"Manakala sebanyak tiga buah pasar tamu iaitu Pasar Tamu Kinabatangan, Pasar Tamu Menggerimot dan Pasar Tamu Rancangan Belia Tiulon dalam proses dokumentasi dan pelaksanaan bagi tujuan naik taraf, " katanya.
Tambah Arthur, projek naik taraf itu berupaya memberikan peluang dan manfaat kepada sehingga 150 orang usahawan di sesebuah pasar tamu selain dapat membantu usahawan menjalankan aktiviti pemasaran agromakanan.
"Usaha ini mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan kemudahan fasiliti dan keselesaan pengunjung di Pasar Tamu dan dalam masa yang sama turut mengekalkan elemen budaya setempat yang merupakan keunikan identiti masyarakat di Sabah, " katanya.
Untuk rekod, sehingga tahun lalu, FAMA telah membelanjakan sebanyak RM5.36 juta bagi menaiktaraf enam buah pasar tamu sedia ada iaitu Pasar Tamu Sook Keningau, Pasar Tamu Dataran Tomborungus Kudat, Pasar Tamu Kunak, Pasar Tamu Beluran, Pasar Tamu Tuaran dan Pasar Tamu Telupid.
Terdahulu, Arthur mengadakan lawatan ke tapak program FAMA FEST 2024 @ Sabah yang diadakan pada 29 Ogos sehingga 1 September ini.
Lawatan beliau turut disertai Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA, Faisal Iswardi dan Pengarah FAMA Negeri Sabah, Sarman Sidno.
Katanya, seramai 442 usahawan terlibat dalam program itu dengan anggaran nilai jualan sebanyak RM250,000 dan dijangka mencatatkan kehadiran seramai 20,000 pengunjung di sepanjang program yang berlangsung selama empat hari itu.
Comments