top of page
nabalunews

Fasa kedua pendaftaran PADU diumum lepas dapat kelulusan Kabinet




21 November 2024


PUTRAJAYA: Fasa kedua pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) hanya akan diumumkan secara terperinci selepas mendapat kelulusan Kabinet.


Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata buat masa ini kementeriannya dan Kementerian Kewangan sedang memperhalusi beberapa perkara termasuk membabitkan kriteria kelayakan.


"Kita sudah pun ada mesyuarat minggu lalu dan rancangan mengenai garis masa pelaksanaan sedang dibincangkan.


"Perkara ini akan dibawa ke Kabinet dan apabila Kabinet bersetuju, baru Kementerian Ekonomi boleh mengumumkan garis masa itu.


"Sudah tentu kalau kerajaan membuat keputusan mengenai kriteria siapa yang layak, itu akan membabitkan pembukaan semula (pendaftaran) PADU dalam satu tempoh masa kelak," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis pelancaran Innovathon Musim Kedua di sini, pada Rabu, lapor Harian Metro.


Kerajaan dilaporkan akan membuka semula sistem pendaftaran PADU di bawah fasa kedua.


Ia bagi membolehkan mana-mana individu yang belum mendaftar dapat mengemas kini maklumat masing-masing mengikut tempoh yang akan ditetapkan.


Mengulas lanjut, Rafizi berkata, fasa kedua pendaftaran sistem PADU bagi memberi ruang kepada mereka yang belum berdaftar, untuk berbuat demikian.


Ditanya sama ada orang awam yang tidak mendaftar PADU akan turut menikmati subsidi atau sebaliknya, Rafizi berkata, perincian mengenai mekanisma itu akan diumumkan selepas ia dimuktamadkan.


"Pada awal tahun ini, pendaftaran PADU itu tidak berkait dengan apa-apa program kerajaan, hanya untuk mendaftar.


"Maka motivasi keluarga biasa atau orang awam (mungkin) agak rendah kerana mereka hendak tunggu dan lihat, sebab itu kita kena dapatkan kepastian program akhir yang akan diluluskan oleh kerajaan.


"Apabila perincian ini diumumkan, mereka yang belum mendaftar sudah tentu mahu mendaftar kerana kalau mereka tahu bahawa pengesahan kelayakan penerimaan subsidi Ron95 itu berkait dengan data daripada PADU, kalau mereka tak daftar, akan ada risiko keciciran," katanya.


Mengenai pengkelasan T15, Rafizi berkata, selepas kriteria kelayakan diumumkan kerajaan kelak, beliau berpandangan lebih ramai individu bakal mendaftar PADU.


"Semasa PADU dibuka pada Januari hingga Mac lalu, polanya ialah kebanyakan yang berpendapatan tinggi merasakan mereka tidak perlu mendaftar kerana besar kemungkinan tidak akan dapat subsidi, jadi memang majoriti yang mendaftar itu adalah keluarga berpendapatan rendah.


"Tetapi selepas ini kalau dahulu anggapan M40 ke atas tak dapat (subsidi), sekarang ini gambaran yang kerajaan berikan adalah T15 ke atas.


"Apabila kriteria itu diumumkan selepas diluluskan oleh Kabinet, saya rasa akan lebih ramai lagi kumpulan yang merasakan mereka tak layak, mereka akan mendaftar kerana mereka tahu mereka akan dapat subsidi," katanya.

Comments


bottom of page