top of page
Wartawan Nabalu News

Fasa peralihan ke endemik ditangguhkan, fokus tangani varian Omicron


30 Nov 2021 Oleh Wartawan Nabalu News KUALA LUMPUR: Fasa peralihan ke endemik ditangguhkan seketika akibat daripada penularan varian Omicron. Menteri Kanan Pertahanan merangkap Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, keputusan itu dibuat sehingga memperolehi maklumat lanjut mengenai varian baharu tersebut. “Meskipun belum ada kes varian Omicron direkodkan di Malaysia, tapi tindakan berhati-hati harus dilakukan ekoran sifat penularan varian baharu tersebut yang sangat pantas dan mudah berjangkit. “Kita memberi mandat kepada Menteri Kesihatan untuk menentukan tindakan-tindakan yang selanjutnya berhubung kait dengan keluar masuk sempadan dan apa jua prosedur operasi standard (SOP) yang akan diumumkan,” katanya dalam sidang media hari ini. Menurut beliau, pemantauan rapi sedang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kawalan sempadan juga diperketatkan semula. “Daripada apa yang kita pantau di rantau ini dan di dunia, kita berada di dalam keadaan yang sama dengan negara-negara yang paling awal yang memantau dan memerhatikan varian baharu ini dan ini satu petunjuk yang baik kerana kita berada di atas landasan yang sentiasa mengikuti perkembangan-perkembangan penularan Covid-19 ketika ini,” kata Hishammuddin. Sebelum ini, CNN melaporkan bahawa varian Omicron telahpun ditemui di beberapa buah negara seperti Australia, Austria, Belgium, Botswana, Kanada, Denmark, Perancis, Jerman, Hong Kong, Israel, Itali, Jepun, Belanda, Afrika Selatan, Portugal, Sepanyol, Sweedan, dan United Kingdom. Ekoran daripada penularan varian tersebut tersebut KKM telah mengenakan sekatan perjalanan dari negara ini ke tujuh buah negara Afrika iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe.

Comments


bottom of page