FFM berpotensi jadi festival filem bertaraf antarabangsa
23 November 2024
KUALA LUMPUR: Festival Filem Malaysia (FFM) dilihat mampu mencapai status antarabangsa setaraf dengan festival filem terkenal seperti Cannes dan Busan, menjadikannya platform pelancongan sinema yang berpengaruh dan hab jaringan serantau.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata FFM boleh memainkan peranan penting dalam menjana penajaan, pelaburan, pembiayaan serta pengkomersialan menerusi kerjasama strategik dengan pihak swasta di peringkat domestik dan antarabangsa.
"Untuk jangka panjang, FFM juga berpotensi meraih akreditasi dan pengiktirafan daripada badan-badan antarabangsa seperti Academy of Motion Picture Arts and Sciences (AMPAS) sebagai salah satu daripada 181 Oscars-Qualifying Festivals; International Federation of Film Producers Associations (FIAPF) ataupun Network for the Promotion of Asia Pacific Cinema (NETPAC)," katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) di Studio Sound Stage, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), semalam, lapor Bernama.
Fahmi turut memaklumkan bahawa perbincangan dengan FINAS akan diadakan untuk merangka langkah strategik bagi merealisasikan potensi FFM di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, beliau menegaskan sokongan kerajaan terhadap industri kreatif dan budaya sebagai sektor ekonomi berimpak tinggi.
Sokongan menerusi Kementerian Komunikasi dan FINAS dalam penganjuran FFM33 menunjukkan kepentingan festival ini sebagai platform pengiktirafan di peringkat nasional untuk meraikan kecemerlangan filem, produksi, dan bakat berkualiti tinggi.
Tema Evolusi Sinema Malaysia atau EMAS yang dipilih untuk FFM33, menurut beliau, mencerminkan aspirasi memacu industri perfileman tempatan ke tahap global.
"Industri perfileman negara yang kini berusia 91 tahun sejak tayangan filem Melayu pertama Leila Majnun pada 1933, telah melalui evolusi dinamik, meliputi penerbitan, pengedaran, dan pemameran filem.
"Evolusi EMAS ini menggambarkan nilai ekonomi kreatif dan budaya berimpak tinggi melalui filem karya tempatan yang memperkukuh bahasa, budaya, dan cerita bangsa," katanya.
FFM33 mencatatkan 104 penyertaan dengan 95 pencalonan layak bertanding, melibatkan 64 filem cereka, 20 filem pendek, dan 11 filem dokumentari. Malam Anugerah FFM33 dijadual berlangsung pada 7 Disember ini di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, dan disiarkan secara langsung di TV2 serta saluran YouTube FINAS.
Comments