top of page
nabalunews

FLYsiswa kini inisiatif tahunan kerajaan

5 November 2024


KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata kerajaan telah bersetuju menjadikan inisiatif FLYsiswa sebagai program tahunan Kementerian Pengangkutan, selepas keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 3 September lalu.


Jelas beliau, keputusan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk mengukuhkan integrasi wilayah antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan.


“Inisiatif ini bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan mahasiswa yang ingin pulang ke kampung halaman, khususnya bagi mereka yang tiada pilihan pengangkutan lain selain penerbangan.


"Bagi tahun 2025, subsidi tiket penerbangan, termasuk inisiatif FLYsiswa dan subsidi tiket untuk musim perayaan, telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2025 dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM48 juta," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, lapor Bernama.


Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) yang ingin tahu sama ada Kementerian Pengangkutan bercadang untuk menjadikan inisiatif FLYsiswa sebagai usaha tahunan dan berterusan, berbanding sekadar inisiatif 'one-off' atau 'pengumuman'.


Setakat 4 November, seramai 35,183 daripada 52,030 mahasiswa yang layak telah menebus baucar FLYsiswa.


Daripada jumlah mahasiswa yang layak mendapat bantuan FLYsiswa pada tahun 2024, 42.7 peratus (22,226) adalah berasal dari Sabah manakala 36.8 peratus (19,171) berasal dari Sarawak.

Comments


bottom of page