Fokus untuk kurangkan kemiskinan, selesaikan projek tertangguh di Sabah: Ewon
26 Januari 2025
Oleh Wartawan Nabalu News
PUTATAN: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, menegaskan dua fokus utama kepimpinannya adalah membantu mengurangkan kadar kemiskinan di Sabah dan memastikan mana-mana projek persekutuan yang tertangguh di negeri ini dapat dilaksanakan.
Beliau berkata, Sabah sering dilabelkan sebagai negeri yang mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi dan masih mempunyai lebih 400 projek persekutuan yang belum bermula.
“Sebab itu saya memilih untuk fokus kepada tanggungjawab yang diberikan kepada saya kerana saya pasti rakyat mahukan kepimpinan yang ada fokus.
“Saya telah mengatakan tanpa menjejaskan fokus sedia ada di kementerian di seluruh negara, saya hanya mahu kementerian ini memberi fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak.
“Melalui Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara melalui persektif KUSKOP, saya mahu kementerian ini memberi fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak tanpa menjejaskan fokus sedia ada di seluruh negara.
“Keusahawanan, koperasi, serta bantuan berkaitan pendidikan akan dijadikan platform untuk membawa rakyat Sabah keluar daripada kemiskinan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan sambutan Tahun Baharu Cina Putatan anjuran Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Tiong Hwa Putatan dan Pertubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas UTC Kota Kinabalu, di Putatan Mall, di sini, hari ini
Ewon yang juga pengerusi Jawatankuasa Khas Intervensi Pemantauan dan Penyelarasan Projek Kerajaan Persekutuan, berkata, beliau akan memastikan mana-mana projek persekutuan di Sabah yang tertangguh sejak Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), RMK12 dan RMK13 dapat dilaksanakan.
“KPI yang diberikan kepada saya adalah memastikan projek itu bermula dan sebagai menteri daripada Sabah, saya mengambil tanggungjawab itu dengan serius. Mesyuarat ini saya pengerusikan setiap bulan untuk mencari penyelesaian,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, antara punca projek-projek itu belum dilaksanakan kerana isu tapak projek dan perubahan kos yang tinggi.
Ewon yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah berkata, dalam mengurus pembangunan dan kemajuan, semua pemimpin di Sabah tanpa mengira fahaman politik perlu bersatu demi kepentingan rakyat.
“Banyak pertembungan politik yang tidak membantu Sabah. Kita perlu fokus kepada kebersamaan dan kerjasama untuk menangani isu kemiskinan dan memastikan projek pembangunan dapat dilaksanakan.
“Sebab itu saya tidak akan melayan pertikaian politik kerana ia tidak membantu menyelesaikan masalah rakyat. Soal siapa yang mahu jawatan itu dan ini adalah soal kedua, fokus utama saya ialah bagaimana insiden kemiskinan di Sabah dapat dikurangkan.
“Saya juga ada tanggungjawab di kementerian melalui dasar yang saya sedang laksanakan dan tanggungjawab memastikan projek persekutuan di Sabah yang belum dimulakan dapat dilaksanakan.
“Pada akhirnya, rakyat akan menilai sama ada kepimpinan saya berjaya memenuhi tanggungjawab ini.
“Saya yakin, rakan lain dari Sabah juga mempunyai fokus yang sama dan saya ingin mengajak para pemimpin dari negeri ini tanpa mengira aliran politik supaya sama-sama bersatu demi rakyat Sabah,” katanya.
Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, partinya dan PH Sabah sentiasa terbuka membincangkan perkara yang memberikan kebaikan masa depan Sabah termasuk soal kestabilan kerajaan di peringkat persekutuan dan kekuatan Kerajaan Negeri.
Katanya lagi, kebersamaan dan kerjasama itu penting kerana kestabilan kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan adalah kunci memperbaiki keadaan di Sabah termasuk menangani kemiskinan dan projek pembangunan di negeri ini.
Comments