top of page

Forever Sabah dan RSPO Perkasa Pekebun Kecil Sawit di Telupid

nabalunews


18 Mac 2025


TELUPID: Satu taklimat pengenalan mengenai Forever Sabah dan Projek Persijilan Minyak Sawit Mapan berpandukan standard Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO) telah diadakan semalam di Dewan Kampung Baba, Telupid. Program ini bertujuan memperkasa pekebun kecil dengan pengetahuan tentang kepentingan persijilan minyak sawit mampan serta inisiatif pembangunan lestari di Sabah.


Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baba, Andrew Parantis, berkata program ini merupakan hasil kerjasama dengan Forever Sabah Berhad. Ia bertujuan memperkenalkan peranan Forever Sabah dalam pembangunan lestari, menerangkan persijilan RSPO, serta mengumumkan pelantikan Ketua Penyelaras Komuniti (VC) Kampung Baba.


"Taklimat ini sangat membantu pekebun kecil sawit di Kampung Baba dalam memahami kepentingan standard RSPO untuk meningkatkan daya saing dan kelestarian industri sawit," ujar Andrew.


Seramai 25 penduduk Kampung Baba, yang terdiri daripada pekebun kecil kelapa sawit, telah menghadiri sesi taklimat tersebut.


Program ini dikendalikan oleh Penyelaras Lapangan Daerah Telupid Forever Sabah, Cronwall Mix Jufflin, yang menerangkan kepentingan pensijilan RSPO dan peranan pekebun dalam mencapai sasaran kelestarian.


Menurut Cronwall, inisiatif ini menyokong matlamat Kerajaan Negeri Sabah untuk menjadi negeri pertama di Malaysia yang mengeluarkan minyak sawit 100% bersijil RSPO. Forever Sabah dengan kerjasama Wild Asia akan membantu pekebun kecil memperoleh pensijilan RSPO melalui Skim Pensijilan Berkumpulan Wild Asia (WAGS).


Program pensijilan ini memberi tumpuan kepada pekebun kecil bebas yang memiliki kebun kelapa sawit dengan keluasan 100 ekar ke bawah. Dengan menyertai skim ini, pekebun kecil akan mendapat bimbingan dan sokongan dalam meningkatkan amalan pertanian mampan, yang bukan sahaja baik untuk alam sekitar tetapi juga memberi faedah ekonomi melalui akses kepada pasaran global yang mengutamakan minyak sawit mampan.


Pekebun kecil diharap dapat memanfaatkan peluang ini untuk menjadi sebahagian daripada pengusaha kelapa sawit yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.


Dengan adanya sokongan daripada Forever Sabah dan Wild Asia, para pekebun kini mempunyai akses kepada platform yang membantu mereka dalam mendapatkan pensijilan RSPO serta meningkatkan taraf hidup melalui pertanian lestari.

תגובות


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page