Forum koperasi bakal dianjur Malaysia sempena Kepengerusian ASEAN 2025
12 Disember 2024
KUALA LUMPUR: Malaysia akan mengadakan forum koperasi ASEAN tahun depan bersempena dengan Kepengerusian ASEAN 2025.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata forum ASEAN Cooperative Dialogue 2025 yang akan diadakan pada April itu, bersesuaian dengan pengiktirafan diberikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengangkat 2025 sebagai Tahun Koperasi Antarabangsa buat kali kedua.
"Forum ASEAN Cooperative Dialogue 2025 akan diterajui Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan akan didukung sepenuhnya oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
“Sempena sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa yang kedua tahun hadapan, pelbagai pengisian dan program dalam negara diadakan sepanjang tahun selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan sesuai dengan Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah selaku Presiden ANGKASA dan Pertubuhan Koperasi ASEAN,” katanya, lapor Bernama
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Tahun Koperasi Antarabangsa 2025 (IYC2025) Peringkat Kebangsaan di Auditorium ANGKASA, di sini hari ini.
Kali pertama Tahun Koperasi Antarabangsa diisytihar pada 2012 dengan bertemakan Cooperatives Build a Better World bagi mengiktiraf peranan koperasi dalam membangun ekonomi global, nilai dan manfaat sekali gus meningkatkan kualiti kehidupan sejagat.
Sementara itu, Abdul Fattah berkata pihaknya turut merancang untuk mengadakan pelbagai program berkaitan koperasi, antaranya Konvensyen Pemerkasaan Koperasi Kebangsaan Sempena Mesyuarat Agung Perwakilan ANGKASA (MAPA), Coop Treasure Hunt 2025, Bulan Koperasi Kebangsaan (BKK), Hari Koperasi Negara (HKN) dan Seminar Youth for Cooperative Futures pada tahun depan.
“ANGKASA sebagai badan menggerakkan koperasi mengambil kesempatan untuk memenuhi program dan aktiviti pada tahun hadapan yang akan menonjolkan sumbangan koperasi kepada pembangunan negara.
“Kita (ANGKASA) juga telah menghantar resolusi kepada kerajaan untuk mengangkat isu koperasi di peringkat kepimpinan negara-negara ASEAN. Sebahagian negara ASEAN melihat sektor koperasi itu hanya sekadar picisan ataupun sebagai sektor kecil, sedangkan koperasi ini melibatkan pelbagai sektor merangkumi ekonomi, pelancongan, pertanian dan sebagainya,” katanya.
Beliau berharap agenda koperasi yang akan diangkat pada ASEAN 2025 diterima baik oleh kepimpinan negara-negara ASEAN sebagai agenda utama pembangunan sosial dan ekonomi di negara serantau.
Mengenai penganjuran IYC2025, beliau berkata ia adalah platform terbaik untuk Malaysia memperkasa dan mempromosikan sektor koperasi negara di peringkat antarabangsa bertepatan dengan 16,009 bilangan koperasi dan 7.2 juta keanggotaannya serta perolehan koperasi berjumlah RM33.1 bilion.
Comments