Francis Chong dilantik Presiden Majlis Perbandaran Penampang
22 Julai 2024
KOTA KINABALU: Menjelang transisi Majlis Daerah Penampang yang bakal dinaik taraf menjadi Majlis Perbandaran Penampang (MPP), Francis Chong Yu Shing dilantik sebagai Presiden MPP berkuatkuasa 1 Ogos depan.
Beliau menerima watikah pelantikan daripada Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam pada majlis di Wisma Innoprise, di sini, hari ini.
Francis, 59, memiliki pengalaman selama 37 tahun dalam sektor perkhidmatan awam.
Sebelum menjadi Pegawai Daerah Penampang, beliau pernah memegang jawatan sebagai Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) di Pejabat Daerah Kudat dan mengetuai daerah kecil sebagai Penolong Pegawai Daerah Kecil Matunggong.
Joachim berharap Francis bersama jentera kerja MPP akan meningkatkan kerja dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di Penampang.
Katanya, MPP mendapat sokongan kuat daripada pihak Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP).
MPP dijangka akan dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor pada Oktober tahun ini.
Turut menerima watikah pelantikan hari ini ialah Timbalan Presiden MPP, Noemi Deyna Johntren; Setiausaha MPP, Robert Malangkig dan Timbalan Setiausaha MPP, Andresia A. Lojingau.
Hadir sama dalam majlis ini ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Jamili Nais; Timbalan Setiausaha Tetap I, Stanley Chong; Timbalan Setiausaha Tetap II, Faridah Giau; dan Setiausaha Rendah (Pembangunan), Johnny Samson.
Comments