top of page
nabalunews

Friendship Camp Badan Beruniform Sabah 2024 pupuk semangat kebersamaan generasi muda



11 Disember 2024


KOTA BELUD: Sekolah Kebangsaan (SK) Tambatuan Kota Belud hari ini memulakan Program Friendship Camp Pasukan Badan Beruniform Negeri Sabah Tahun 2024 yang melibatkan 180 ahli Pasukan Badan Beruniform, selain 50 pemimpin dan sukarelawan daripada daerah Kota Belud, Kudat, Kota Marudu, Pitas, Tuaran, dan Kota Kinabalu yang akan berlangsung sehingga 13 Disember ini.


Program yang diadakan di padang sekolah ini bertujuan mengeratkan hubungan di kalangan ahli badan beruniform dari pelbagai daerah di negeri Sabah.


Joel Deukin, Penyelia Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, telah menyerahkan sumbangan kepada pihak penganjur.


Sumbangan tersebut diterima oleh Esther Toihin, wakil SK Tambatuan.


Menurut Esther, aktiviti ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada para peserta mengenai semangat berpasukan, kepimpinan, dan kerjasama dalam organisasi badan beruniform.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ADUN Kadamaian atas sokongan yang berterusan terhadap program pendidikan dan pembangunan komuniti sekolah.


“Ewon sentiasa peka terhadap aktiviti yang menyokong pembentukan sahsiah pelajar, malah keprihatinan beliau menjadi inspirasi kepada ramai pihak di kawasan ini,” ujar Esther.


Joel turut menyampaikan pesanan Ewon yang menekankan pentingnya menyokong inisiatif sebegini.


Katanya sumbangan ini mencerminkan komitmen pemimpin dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi komuniti, khususnya dalam bidang pendidikan dan pembangunan sosial.


“Ewon sentiasa memberi perhatian kepada sebarang program yang melibatkan komuniti Kadamaian. Keprihatinan beliau menunjukkan bahawa setiap usaha, walaupun kecil, mampu memberi impak besar kepada masyarakat,” tambah Joel.


Penganjur berharap program ini dapat memberikan pengalaman bermakna kepada para peserta, sekaligus memupuk nilai kebersamaan serta semangat juang yang tinggi dalam kalangan generasi muda.

Comments


bottom of page