GAGAL PERTAHAN PENDIRIAN ISU PAS ADUN DILANTIK, FELIX SELAR KENYATAAN ONGKILI
10 OKTOBER 2020
KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Felix Joseph Saang menyelar Parti Bersatu Sabah (PBS) yang tidak mempunyai ketetapan berhubung pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Menurutnya, PBS sepatutnya mempertahankan pendirian asal mereka yang sebelum ini dengan tegas tidak bersetuju sekiranya anggota PAS diangkat sebagai ADUN Dilantik.
"Kita di Sabah ini rakyatnya berbilang kaum dan agama. Bukan sahaja dengan rakan dan jiran tetangga, dalam kalangan adik beradik pun ramai menganuti fahaman agama yang berbeza.
"Ada Kristian, Islam, Buddha dan sebagainya tapi kita hidup harmoni bersama. Dan perkara ini juga diakui oleh Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili.
"Malah dalam kenyataannya sebelum ini, beliau sendiri mengatakan PAS tidak ada asas untuk dipertimbangkan sebagai ADUN dilantik, memandangkan parti tersebut berasaskan agama dan tidak sesuai untuk Sabah. Tapi sekarang mereka akur. Kenapa tidak pertahankan pendirian?,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Felix yang juga Ketua UPKO Beluran berkata, rakyat bukan mengkritik agama Islam tetapi menolak penuh fahaman ekstrem yang boleh memecahbelahkan keharmonian sedia ada.
"Mungkin ada yang mengatakan PAS sudah sekian lama di Sabah, sejak sebelum UMNO. Namun satu perkara yang perlu kita sedar, walau begitu lama kenapa mereka tidak pernah menang satu kerusi sekali pun. Ini menjelaskan betapa rakyat Sabah dari dulu sudah menolak fahaman parti ini.
Mengulas lanjut, Felix turut memetik kenyataan terbaru yang dikeluarkan Maximus semalam.
"Saya fikir kenyataan ini dibuat tanpa mengambil kira perasaan rakyat Sabah khususnya beragama Kristian. Antara mesej yang terkandung adalah PBS berharap agar dapat bekerjasama dengan PAS.
"Sepatutnya Maximus terlebih dahulu meminta Ahli Parlimen PAS Pasir Puteh Kelantan, Nik Muhammad Zawawi Salleh membuat permohonan maaf dan menarik semula kenyataan yang kononnya Kitab Injil Kristian telah dipesongkan.
"Kalau tidak, bagaimana dia boleh bekerjasama dengan PAS?," kata Felix.
Anak jati kelahiran Telupid ini turut menggesa PBS dan Parti Solidariti Sabah Tanah Airku (Star) untuk keluar dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekiranya kerajaan negeri terus menerus tidak menghiraukan suara dan aspirasi rakyat Sabah.
"Bukan sahaja suara rakyat tidak didengar malah suara PBS dan Star sendiri tidak dipandang dalam membuat keputusan," tambahnya.
Kelmarin, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah, Dr Aliakbar Gulasan telah mengangkat sumpah sebagai ADUN Dilantik di istana negeri bersama seluruh Ahli Jemaah Menteri.
Namun lantikannya itu mendapat kritikan hebat daripada rakyat Sabah termasuk mereka yang beragama Islam.
Opmerkingen