Gagasan Rakyat Tambunan tidak rebut calon pada PRN 17 akan datang - Victor
24 September 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
TAMBUNAN: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tambunan tiada niat untuk merebut menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) akan datang.
Ketua Bahagiannya Datuk Victor P. Paut berkata, ini kerana penubuhan Gagasan Rakyat Bahagian Tambunan adalah semata-mata untuk membantu dan memperkuatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Tambunan dan bukannya untuk merebut jawatan sesiapa atau pun menjadi calon.
"Itu harapan kami agar kerajaan GRS bertahan selama-lamanya dan juga merealisasikan impian setiap rakyat Sabah untuk mendapatkan hak-hak negeri Sabah" katanya kepada media selepas Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah di Dewan Masyarakat Tambunan pada Ahad.
Menurut Victor, sejak kemunculan dan tertubuhnya Gagasan Rakyat Tambunan, ia agak menggerunkan dan merisaukan sesetengah pihak sehingga timbulnya berbagai-bagai persepsi yang kononnya Gagasan Rakyat boleh menimbulkan perpecahan dan menjejaskan keharmonian di kalangan parti-parti komponen GRS di Tambunan.
"Ada pula pihak yang menganggap Gagasan Rakyat ini mahu merampas dan mengambil alih kepimpinan di Tambunan yang ada sekarang ini. Jadi saya selaku Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tambunan menafikan tanggapan ini kerana matlamat utama penubuhan Gagasan Rakyat di sini adalah untuk membantu menguatkan lagi kedudukan GRS Tambunan terutamanya dalam menghadapi PRN yang akan datang" jelasnya.
Tegas Victor, tekad utama barisan kepimpinannya adalah memastikan sesiapa juga calon GRS Tambunan, menang besar dalam PRN yang akan datang.
Dalam perkembangan lain Victor menyambut baik pengumuman Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang menambah jumlah rumah mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) daripada 20 buah sebelum ini kepada 40 buah di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai tahun hadapan.
Katanya, Gagasan Rakyat Tambunan menyambut baik, menyokong penuh serta amat gembira dengan pengumuman itu.
"Ini adalah khabar gembira kepada semua, mereka yang memerlukan rumah, yang belum ada rumah terutamanya miskin tegar. Inilah matlamat Gagasan Rakyat untuk membantu rakyat jelata yang susah yang belum mempunyai rumah" katanya.
Walau bagaimanapun beliau berharap supaya bahagian pelaksana akan menjalankan tugas dan kewajiban mereka dengan sebaik mungkin supaya tidak ada lagi ketirisan.
Comments