Gajah Borneo diklasifikasi sebagai ‘Terancam’ dalam Senarai Merah IUCN
29 Jun 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN) telah menyenarai merahkan Gajah Borneo atau Elephas Maximus Borneensis , yang merupakan spesies unik di Pulau Borneo, sebagai ‘Terancam’ akibat populasinya yang kecil dan semakin berkurangan.
Pakar gajah World Wide Fund for Nature Malaysia (WWF-Malaysia), Dr Cheryl Cheah, menyatakan bahawa situasi ini memerlukan tindakan pemuliharaan yang kolaboratif, seperti pengurusan konflik antara manusia dan gajah serta pencegahan kehilangan dan pemecahan habitat.
“Mereka diklasifikasikan sebagai ‘terancam’ menggariskan pentingnya tindakan pemuliharaan secara kolaboratif seperti pengurusan konflik antara manusia dan gajah serta mencegah kehilangan dan pemecahan habitat seterusnya. Kedua-duanya adalah penting untuk menjaga kewujudan mereka pada masa depan," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh WWF-Malaysia.
Cheah turut menjelaskan bahawa gajah Borneo berbeza secara morfologi dan genetik daripada gajah Asia di tanah besar, menjadikannya unik di Pulau Borneo dan sebahagian daripada warisan semula jadi kita.
Gajah Borneo, yang juga dikenali sebagai gajah pygmy Borneo, adalah subspesies kepada gajah Asia atau Elephas maximus, dengan perbezaan saiz yang lebih kecil di mana gajah jantan membesar sehingga ketinggian kira-kira 2.5 meter berbanding 3 meter di tanah besar.
Menurut penilaian yang diterbitkan pada 17 November tahun lepas, gajah Borneo diisytiharkan sebagai Terancam dalam Senarai Merah IUCN. Sementara itu, IUCN menyatakan bahawa terdapat kira-kira 1,000 ekor gajah Borneo, dengan sekitar 400 daripadanya adalah dewasa yang boleh membiak.
“Kira-kira 60 peratus daripada habitat hutan gajah Borneo telah hilang sejak 40 tahun lalu, terutamanya disebabkan oleh pembalakan dan penanaman kelapa sawit secara komersial.
“Kedua-dua kerajaan, Malaysia dan Indonesia, mempunyai pelan tindakan untuk pemuliharaan gajah Borneo, tetapi mereka menghadapi banyak cabaran. Senarai Merah IUCN kini memberikan pengiktirafan antarabangsa terhadap gajah Borneo sebagai subspesies unik dan Terancam, memberikan sebab yang kuat untuk pemuliharaan mereka,” menurut kenyataan IUCN.
IUCN menekankan kepentingan melindungi dan mengembangkan habitat hutan gajah Borneo, menyokong komuniti tempatan dalam meminimumkan konflik dengan gajah, serta menguatkuasakan langkah pencegahan pemburuan haram bagi menjamin masa depan haiwan unik ini.
Comments