Gaji minimum tiada makna, jika kos sara hidup meningkat, kata Anwar
- Farah Salim
- May 1, 2022
- 2 min read

1 Mei 2022
Oleh Farah Salim
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan gaji minimum oleh kerajaan bermula 1 Mei ini tidak memberi makna sekiranya kos sara hidup rakyat masih tinggi.
Sehubungan itu katanya, perlu ada langkah tuntas dan ampuh bagi menanganinya agar tidak membebankan rakyat.
“Ingin ditegaskan bahawa pengumuman gaji minima yang diumum kerajaan tidak akan membawa apa-apa erti sekiranya kos sara hidup terus mencanak naik dan tidak ada langkah tuntas dan ampuh bagi menanganinya.
“Selagi sistem sedia ada yang hanya memperkaya elit ketimbang nasib dan hak pekerja, maka keadilan tidak akan tertegak.
“Kelas pekerja mesti terus mendesak untuk perubahan yang nyata serta kesatuan mesti terus diperkuat bagi menjamin hak dan peranan golongan pekerja,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Ahad.
Sebelum ini diumumkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei ini sudah diwartakan.
Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 27 April 2022 itu dikeluarkan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dan disiarkan di laman web rasmi Pejabat Peguam Negara pada 28 April 2022.
Dokumen pewartaan itu bertajuk Perintah Gaji Minimum 2022 mengikut Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.
Berdasarkan dokumen itu, kadar gaji minimum dan kadar gaji bagi pekerja yang dibayar hanya berdasarkan upah ikut kerja, berat tan dan sebagainya berkuat kuasa mulai 1 Mei 2022.
Kadar gaji minimum yang kena dibayar kepada seseorang pekerja adalah sebanyak RM1,500 atau berdasarkan bilangan hari bekerja dalam seminggu.
Jika enam hari bekerja, pekerja itu harus dibayar RM57.69 sehari, RM69.23 sehari (lima hari bekerja) dan RM86.54 sehari (empat hari bekerja) dengan setiap jam bersamaan RM7.21.
Berhubung seseorang pekerja yang tidak dibayar gaji pokok, tetapi dibayar gaji hanya berdasarkan upah ikut kerja, berat tan, tugasan, perjalanan atau komisen, kadar gaji bulanan yang kena dibayar hendaklah tidak kurang daripada RM1,500.
Berdasarkan Perkara 4(3)(a) dokumen berkenaan, perenggan itu terpakai bagi pekerja yang diambil bekerja oleh seseorang majikan yang menggaji lima orang pekerja atau lebih.
Bagaimanapun, kadar gaji minimum RM1,500 bagi majikan yang mengambil kurang daripada lima pekerja hanya akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023.
Comments