GEM Upko Kota Belud berusaha tarik lebih ramai generasi muda
27 Januari 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Pergerakan Generasi Muda (GEM) Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Kota Belud yakin pergerakan itu mampu mengangkat suara belia terutama kawasan luar bandar memperkasakan visi dan misi parti seterusnya menarik lebih ramai belia berumur 18 tahun dan ke atas menyertai pergerakan itu.
Ketuanya Joel Deukin berkata, selain GEM Upko, Pergerakan Pemuda dan Wanita juga harus lebih kompetitif dan menjana idea-idea baharu untuk diketengahkan kepada umum khasnya belia.
Sehubungan itu katanya, GEM Upko Kota Belud akan melipatgandakan usaha menarik lebih ramai generasi muda menyertai pergerakan itu bagi memantapkan parti itu secara keseluruhannya.
“Ini penting kerana pada pilihan raya akan datang, kebanyakan pengundi baharu adalah daripada golongan muda.
“Antara yang menentukan kemenangan dalam sesebuah parti politik dalam sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini ialah bilangan ahli yang ramai termasuk pengundi muda.
“Oleh itu seiring dengan misi dan visi parti, GEM menginginkan penyertaan golongan belia daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk aktif dalam pelbagai program anjuran kami,” katanya ketika ditemui Nabalu News, di sini, hari ini.
Joel berkata, GEM Upko telah bertapak beberapa tahun sebelumnya di Kadamaian dan ketika itu dikenali sebagai Pergerakan Komulakan UPKO.
“Di Kadamaian misalnya, GEM banyak menganjurkan program berasaskan belia seperti Kem Motivasi khusus pelajar-pelajar yang menduduki SPM, Program rekacipta kraftangan tempatan yang mengutamakan penyertaan belia di setiap kampung dalam kawasan Kadamaian, program kesihatan dan sukan untuk belia aktif.
“Ini bertujuan untuk mengangkat nama GEM agar dikenali oleh generasi muda di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata, GEM juga bekerjasama dengan sayap Pergerakan Pemuda Upko Bahagian Kota Belud menjalankan menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) termasuk memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Comments