Gempa bumi lemah di Kundasang, tiada ancaman Tsunami
26 April 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KUNDASANG: Gempa bumi lemah berukuran 3.7 pada skala Richter dikesan berlaku di Kundasang pada 9:28 pagi tadi, dilaporkan tiada ancaman tsunami kepada Malaysia.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa bumi itu berlaku di koordinat 6.1 darjah utara dan 116.6 darjah timur di Kundasang.
Katanya lagi, gempa bumi itu dikesan 14 kilometer Barat Laut dari Ranau pada kedalaman 10 kilometer.
“Gegaran turut dirasai di sekitar Ranau. Bagaimanapun tiada ancaman Tsunami kepada Malaysia. Jabatan Meteorologi Malaysia akan terus memantau keadaan ini,” kata kenyataan itu, hari ini.
Dalam pada itu, agensi keselamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bertindak melakukan pemantauan di sekitar Pekan Ranau susulan gegaran itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Ridwan Mohd Talib berkata, setakat ini pihak bomba belum menerima sebarang aduan.
“Setakat ini keadaan terkawal dan hasil laporan pasukan bomba yang memantau, tiada kerosakan bangunan dilaporkan,” katanya.
Comments