Gempa bumi lemah di Ranau, keadaan terkawal - Bomba
16 Disember 2024
RANAU: Gempa bumi lemah berukuran magnitud 2.8 telah dikesan berlaku di Ranau, Sabah pada jam 2.56 petang tadi.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), gempa itu berpusat 15 kilometer barat Ranau pada kedalaman 10 kilometer.
Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau yang tiba di lokasi sekitar jam 3.17 petang menjalankan rondaan di kawasan Pekan Ranau dan melaporkan tiada kerosakan besar atau kemalangan jiwa.
“Keadaan di kawasan seperti bangunan persekutuan, Pejabat Daerah Ranau, bangunan sekolah, Daily Coffee, dan kedai-kedai lebih tiga tingkat berada dalam keadaan terkawal,” kata Komander Operasi PBK II KUP Newmond Nonepaulus.
Operasi pemantauan tamat pada jam 4.30 petang dengan penglibatan dua anggota menggunakan jentera FRV-1.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berjaga-jaga dan mengikuti perkembangan terkini dari pihak berkuasa mengenai gempa bumi.
Comments