Gerakan Koperasi Prihatin Ihsan Madani Bantu Mangsa Banjir di Kadamaian
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_23e633a001de47ebab4408229f468b8c~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_439,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d65831_23e633a001de47ebab4408229f468b8c~mv2.jpg)
11 Februari 2025
Oleh : Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa), dan Angkatan Koperasi Malaysia Berhad (ANGKASA) Sabah tampil menjayakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Gerakan Koperasi Prihatin Ihsan Madani.
Program penyerahan yang berlangsung di Dewan Kampung Pompod, Kelawat Kadamaian, itu bagi membantu mangsa banjir yang terjejas baru-baru ini.
Penyerahan bantuan bakul makanan kepada 167 Ketua Isi Rumah (KIR) itu melibatkan empat kampung sekitar yang terjejas akibat banjir.
Antara yang Kampung Pompod (57 KIR), Kampung Pangi (64 KIR), Kampung Minangkob (20 KIR), dan Kampung Pahu (25 KIR).
Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Wong Thien Fook berkata, program CSR ini merupakan salah satu komitmen Gerakan Koperasi dalam membantu masyarakat yang terkesan dengan musibah.
“Kami berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan beban mereka yang terjejas akibat banjir.
“Gerakan Koperasi akan terus berusaha menyokong komuniti melalui pelbagai inisiatif kebajikan,” katanya.
Sementara itu, sumbangan diterima wakil-wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang menerima sumbangan bagi pihak komuniti mereka.
Antara yang hadir, ialah Herbert Juali dari Kampung Minangkob, Maiman Muntial (Kampung Pompod), Jesoli Masongin (Kampung Pangi) dan Saidol Gindol (Kampung Pahu).
Majlis penyerahan bantuan turut dihadiri Pengarah SKM Sabah, Efendee OP Andu, Pengarah IKMa Sabah, Mohd Razalie Raffae; Pengurus ANGKASA Sabah, Anthony Borubui, dan Pegawai Tugas-Tugas Khas II kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, Dr. Rizoh Bosorong.
Turut hadir Pemimpin Pembangunan Masyarakat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Saikom Waltis serta Ketua Pegawai Perhubungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Carlye Lajimin.
Comments