top of page
nabalunews

Gerakan mencari lelaki hilang dibaham buaya di Kinabatangan dihentikan




4 Disember 2024


KINABATANGAN: Gerakan mencari seorang lelaki yang hilang dikhuatiri dibaham buaya ketika sedang mencuci bot bersama anaknya dalam kejadian di sungai Kampung Sri Ganda di sini pada Ahad, dihentikan petang tadi selepas operasi mencari selama 4 hari masih belum menemui mangsa dan hanya akan disambung semula jika ada petunjuk baharu.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, gerakan mencari mangsa, Kisman Baco, 36, yang masuk hari keempat hari ini dimulakan jam 8.30 pagi tadi dengan radius kawasan pencarian 4 kilometer ke hilir dan 4 kilometer ke muara dari lokasi mangsa dilaporkan hilang, Ahad lalu.


"Bomba menggunakan kaedah pencarian di permukaan air dibantu agensi lain termasuk polis, Jabatan Hidupan Liar dan penduduk kampung," katanya dalam kenyataan hari ini.


"Pada jam 5 petang, mangsa belum ditemui dan setelah membuat perbincangan dengan pihak polis berserta keluarg mangsa, operasi pencarian ditamatkan sepenuhnya sehingga mendapat petunjuk baru," katanya.


Dalam insiden itu, bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 10.35 malam pada Ahad.


Nurul Azlan berkata empat anggota dari BBP Kinabatangan dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 100 kilometer dari balai.


"Menurut saksi iaitu anak mangsa, ketika kejadian dia dan bapanya sedang mencuci bot di tepi sungai dan dia menyedari kehilangan bapanya secara tiba-tiba sebelum mendapatkan bantuan," katanya.

Comments


bottom of page