Golongan muda harus berani bangkit selamatkan masa depan negara: Anwar

3 Julai 2022
Oleh Farah Salim
PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat negara ini khususnya golongan muda supaya berani membangkitkan kesedaran serta usaha menyelamatkan negara.
Beliau berkata, anak-anak muda tanpa mengira kaum harus berani bangkit menyelamatkan negara ini daripada rasuah dan k ezaliman
“Rakyat tidak boleh mengeluh dan lemas dalam membincangkan masa depan negara. Anak-anak muda sama ada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain bangkit selamatkan negara ini tolak rasuah dan kezaliman, menang kalah itu soal lain, soal kerja mesti diusahakan sepenuhnya.
"Jadi golongan muda jangan bicara soal letih dan lemas, sebaliknya bicara soal tanggungjawab, membangkitkan kesedaran rakyat dan menyelamatkan negara kita," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Sidang Nadi Rakyat, kelmarin (Sabtu).
Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, semua isu yang dibangkitkan dalam sidang itu termasuk melibatkan kerajaan negeri diharap dapat dirumus serta dikemukakan kepada menteri besar.
Katanya lagi, tindakan ahli-ahli parti yang berani menyuarakan pandangan serta cadangan terhadap permasalahan di negara ini sebagai satu usaha yang baik.
"Tidak ada negeri yang menunjukkan keprihatinan terhadap permasalahan rakyat secara menyeluruh termasuk ibu tunggal seperti mana yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH). Tetapi ia masih belum mencukupi kerana kita mengemukakan kerajaan-kerajaan ini sebagai alternatif, katanya.
Turut hadir Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Comments