top of page
nabalunews

Gotong-Royong eratkan hubungan komuniti di Kg Natai Sibah





14 Disember 2024


SEPANGGAR: 80 penduduk Kampung Natai Sibah di sini berganding bahu membaiki kemudahan paip graviti di kawasan mereka untuk manfaat bersama.


Program ini yang menjadi wadah memperkukuhkan hubungan antara komuniti dan pemimpin setempat dirasmikan oleh Datuk Wong Thien Fook, Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Sepanggar, yang juga Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).


Kehadirannya bukan sekadar untuk menyokong usaha gotong-royong ini tetapi juga bagi bertanya dan memahami keperluan serta cabaran masyarakat di luar bandar.


Dalam program ini, Wong menyampaikan sumbangan berupa bakul makanan daripada SKM kepada 10 penerima dari golongan memerlukan yang mencerminkan komitmen SKM untuk terus menyokong kesejahteraan masyarakat di pedalaman.


Hadir sama dalam program ini ialah Pembantu Hal Ehwal Ekonomi SKM Sabah, Mintin Lium, dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Natai Sibah, Halimon Antim.


Selain aktiviti gotong-royong, turut diadakan, aktiviti santai seperti jamuan ringan dan hiburan, yang memberi ruang kepada komuniti untuk berinteraksi secara langsung dengan pemimpin serta wakil agensi yang hadir.


Wong merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya penduduk kampung yang menunjukkan semangat kerjasama yang jitu.


“Gotong-royong seperti ini tidak hanya menyelesaikan isu kemudahan asas, tetapi turut memperkukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan penduduk,” katanya.


Menurut Wong, program ini membuktikan bahawa kerjasama erat antara komuniti dan pemimpin mampu membawa perubahan positif serta meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.


"Usaha kolektif ini menjadi contoh terbaik bagi membina hubungan harmoni dan menyelesaikan cabaran secara bersama," katanya.

Comments


bottom of page