Gotong Royong Kg Mengkulat Berjaya Membersihkan Kawasan Dewan Serbaguna dan Menyelenggara Jalan Raya Utama

15 Mac 2025
Oleh: Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD : Seramai 30 penduduk Kampung Mengkulat telah menyertai program gotong royong pada 14 Mac 2025 yang bertujuan untuk membersihkan kawasan Dewan Serbaguna dan menyelenggara jalan raya utama kampung.
Program ini diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Mengkulat, Justina Bakod.
Kehadiran program ini turut diserikan oleh Pegawai Pembangunan Masyarakat, Juin Kolod, dan Pemaju Mukim, Joel Deukin, dari Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Pusat Khidmat ADUN N11 Kadamaian. Mereka hadir untuk memberikan sokongan dan memantau pelaksanaan aktiviti gotong royong tersebut.

Menurut Justina Bakod, program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan kemudahan awam. “Kerjasama penduduk sangat membanggakan. Aktiviti seperti ini bukan sahaja dapat memupuk semangat kejiranan, tetapi juga memastikan persekitaran kampung sentiasa bersih dan selamat,” ujarnya.
Selain membersihkan kawasan Dewan Serbaguna, peserta gotong royong juga terlibat dalam kerja-kerja menyimen jalan raya utama kampung bagi memastikan kemudahan tersebut berada dalam keadaan baik.
Program ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif komuniti di masa hadapan, bagi memastikan pembangunan dan kemajuan Kampung Mengkulat terus terpelihara.
コメント