Gotong royong KRT Taman Gum-Gum Jaya bersama NGO Big Heart Libaran bersihkan PPR Taman Gum-Gum Jaya, Sandakan
14 Disember 2024
SANDAKAN : Satu aktiviti gotong royong dianjurkan oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Gum-Gum Jaya, Batu 16 Sandakan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Big Heart Libaran untuk membersihkan, mengindahkan serta mewujudkan persekitaran yang sihat dan selamat di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Gum-Gum Jaya, Sandakan, hari ini.
Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Gum-Gum Jaya dahulunya adalah kawasan hutan yang juga tanah kerajaan di Batu 16 Sandakan.
Projek ini telah siap dibina pada 2008 dan mula diduduki pada 2010 oleh penghuni baru.
Terdapat 500 unit buah rumah yang terdiri daripada 8 buah blok bangunan iaitu Blok A, B, C, D, E, F dan G yang mana setiap blok mempunyai 4 tingkat.
Golongan sasar penubuhan PPR adalah golongan yang berpendapatan rendah dan setinggan.
Penghuni PPR Taman Gum-Gum Jaya ini kebanyakannya berasal daripada kawasan sekitar Kampung Gum-Gum.
Dianggarkan terdapat seramai 1,500 orang populasi warga PPR Taman Gum-Gum Jaya.
Selain itu, PPR Taman Gum-Gum Jaya turut dilengkapi dengan kemudahan asas untuk kegunaan awam yang diperlukan dalam sebuah komuniti iaitu Klinik Komuniti, Masjid, kawasan letak kenderaan dan Tadika KEMAS.
"Kerjasama ini disambut baik oleh penduduk setempat pada hari ini," kata pengerusi KRT Taman Gum-Gum Jaya, Batu 16 Sandakan, Fadly Voon.
Gotong royong ini turut disertai Dr Peter Jr Naintin, penaung NGO Big Heart Libaran.
"Kami berkesempatan untuk menghadiri aktiviti gotong-royong yang diadakan di kawasan perumahan PPR Taman Gum-Gum Jaya. Pada masa yang sama juga, kami mendengar cadangan-cadangan pembangunan komuniti yang boleh dilaksanakan bersama-sama pada masa hadapan," kata Dr Peter.
Dr Peter turut berkomunikasi dengan rakan-rakan dari Pejabat Kesihatan Awam berkenaan aktiviti membasmi pembiakan nyamuk aedes di kawasan PPR Taman Gum-Gum Jaya.
"Aktiviti gotong-royong yang kami sertai termasuk membersihkan longkang yang penuh dengan sampah sarap dan tumbuhan berdekatan laluan pejalan kaki sepanjang 200 meter ke arah PPR Taman Gum-Gum Jaya," kata Dr Peter.
"Misi kami hari ini adalah untuk bekerjasama dengan penduduk tempatan untuk membersihkan kawasan pejalan kaki agar sentiasa selamat dan bersih untuk para murid pergi balik ke sekolah," tambahnya.
Comentarios